Followers

Tuesday, May 13, 2008

Detik Kemerdekaan 31.8.1957




Ibu kendong anak laung merdeka
Oleh Azrul Affandi Sobry

Rakyat serbu Padang Kelab Selangor sejak jam 4 petang untuk detik bersejarah

Sambutan kemerdekaan yang diraikan pada masa kini jauh berbeza berbanding ketika kali pertama laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957 dari mulut Bapa kemerdekaan sendiri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Sambutan ketika itu lebih memberi makna mendalam kepada mereka yang berkesempatan melihatnya dengan mata sendiri kerana ia adalah senario yang pertama berlaku di negara yang selama ini dijajah sejak sekian lama.


Malah, pada ketika itu, seluruh penduduk Tanah Melayu begitu ghairah ingin mengetahui kebenaran di sebalik kejayaan memperoleh kemerdekaan serta melihat sendiri sejauh mana meriahnya sambutan kemerdekaan.

“Justeru, seluruh rakyat dari segenap peloskk negara berpusu-pusu memenuhi setiap ruang di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) pada malam 30 Ogos 1957 dan Stadium Merdeka pada keesokan harinya semata-mata untuk merasai detik bersejarah itu.

Keadaan itulah yang menjadikan segenap pelosok ibu negara sesak tambahan pula suasana itu bukan sekadar dirasai rakyat tempatan tetapi turut dikongsi oleh kebanyakan warga Eropah yang bekerja di negara ini,” kata Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.

Beliau yang pada ketika itu ditugaskan sebagai pegawai protokol bagi delegasi 12 pegawai dari Jepun, berkata sukar digambarkan bagaimana perasaan mereka dan suasana ketika itu kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku di negara ini sebelumnya.

Malah, katanya, walaupun polis sudah menyediakan laluan khas untuk tetamu kehormat, ia tetap menyebabkan kenderaan yang membawa orang kenamaan gagal tiba tepat pada masanya lantaran ramai hadir terutama golongan ibu yang menggendong anak berpusu-pusu di laluan itu.

“Sekarang, kita sudah boleh jangka apa yang bakal berlaku dalam sambutan kemerdekaan. Berbeza pada ketika itu (31 Ogos 1957) kerana semua yang hadir teruja ingin mengetahui apa yang akan terjadi. Keadaan itulah yang menyebabkan suasana lebih menggetarkan.

“Semua yang hadir di Padang Kelab Selangor tenang dalam gelisah. Suasana itu sudah mula dirasai seawal jam 4 petang kerana padang itu sudah mula dipenuhi orang ramai. Suasana menjadi lebih gelisah apabila lampu limpah mula dipasang pada jam 10 malam dan bendera ‘Union Jack’ dinaikkan,” katanya.

Menceritakan detik ketika malam 30 Ogos, Dr Yahaya, berkata semua yang hadir semakin merasakan debaran apabila kereta yang membawa Tunku diiringi 30 motosikal tiba di padang itu pada jam 11.58 malam.

“Tiada siapa yang mampu menghuraikan bagaimana bangga dan terharunya perasaan kami apabila melihat sendiri bendera ‘Union Jack’ diturunkan tepat jam 12 malam dan bendera persekutuan dinaikkan sejurus selepas itu diiringi lagu Negaraku.

“Tunku pula tidak putus-putus menerima laungan ‘Bapa kemerdekaan Tanah Air’, malah delegasi Jepun yang saya iringi juga melaungkan ungkapan yang sama. Laungan menjadi lebih gemuruh apabila Tunku dengan perlahan mengelilingi padang bertemu dengan seberapa ramai rakyat yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, Tunku meninggalkan padang tepat jam 1.30 pagi, namun laungan ‘Bapa kemerdekaan’ masih kedengaran di sana sini malah berterusan sehingga padang itu lengang apabila hadirin perlahan-lahan meninggalkan kawasan sambutan.

Suasana pada sebelah pagi 31 Ogos pastinya lebih sesak tambahan hujan yang turun dengan lebat pada awal pagi, namun ia tidak menghalang rakyat berpusu-pusu ke Stadium Merdeka untuk meraikan kebebasan negara. Malah, hujan dan suasana yang sejuk itu menambahkan keghairahan mereka untuk menyambut kemerdekaan.

Dr Yahaya yang pernah bersekolah sekelas dengan Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berkata detik itu amat bermakna dan tidak akan berulang lagi tambahan melihat sendiri Tunku melaungkan ‘Merdeka’ dengan menjunjung tangannya.

“Cuba perhatikan tangan Tunku ketika itu. Unik dan berseni. Cukup bermakna dan menyentuh perasaan. Apa lagi kami menyaksikannya secara langsung ketika itu. Cukup mengharukan dan menyentuh perasaan. Malah wakil British yang hadir juga kelihatan sebak dengan suasana itu,” katanya.

Menceritakan serba sedikit berkenaan peribadi Tunku, Dr Yahaya berkata, semangat dan keazaman Tunku untuk memperjuangkan kemerdekaan amat besar maknanya, malah Tunku adalah individu yang amat diharapkan bagi menjayakan sambutan kemerdekaan.

“Boleh dikatakan apa saja yang hendak dilaksanakan pada ketika itu akan digerakkan oleh Tunku. Malah urusan menyediakan persalinan untuk Yang di-Pertuan Agong juga diuruskan oleh Tunku sendiri. Mujurlah Tunku juga berasal dari Istana yang sudah mahir dengan adat istiadat diraja. Perancangan untuk sambutan itu amat teliti dan semuanya diputuskan oleh Tunku. Maklumlah, ketika itu hanya ada sembilan menteri di bawahnya.

“Kami yang ditugaskan menguruskan protokol dan mengiringi delegasi juga diberi kursus selama dua minggu semata-mata untuk melancarkan program berkenaan. Tunku memang cukup teliti,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkenalannya dengan Tunku, beliau mendapati Tunku adalah seorang yang amat menitikberatkan pendidikan malah setiap kali berbual dengannya, Tunku akan bercerita panjang mengenai pendidikan negara dan sentiasa mempunyai pandangan membina ke arah perkembangan bidang berkenaan.

Malah, apabila Tunku sudah bersara daripada sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau masih tidak jemu berbincang dan meminta perkembangan mengenai pendidikan negara setiap kali bertemu dengan pegawai Kementerian Pendidikan (kini Pelajaran).

“Saya kerap bertemu Tunku setiap kali solat Jumaat di Masjid Dhoby Ghaut Pulau Pinang. Kebanyakan orang segan untuk duduk di sebelah Tunku tetapi saya tidak kerana setiap kali berbual dengannya, topik mengenai pendidikan adalah satu keutamaan. Justeru, memang amat bersesuaian dengan bidang saya,” katanya.

No comments: