Followers

Tuesday, October 7, 2014

2014 KERTAS 3 TINGKATAN 4, AKHIR TAHUN.

Pernyataan:  Tema 8: 2, Kerajaan Islam di Madinah.Bincangkan bagaimana Perlembagaan Madinah  berjaya mengekalkan perpaduan dan keamanan Kerajaan Islam pertama.

Berdasarkan pernyataan, soalan yang akan ditanya:

Soalan pertama: Maksud Piagam Madinah. Murid boleh merujuk kepada buku teks muka surat 124. Soalan pertama biasanya akan merujuk kepada maksud atau definisi.

Contoh esei yang menjelaskan maksud/definisi Piagam Madinah.
-perlembagaan bertulis pertama.
-nama lain
-asas pembentukan kerajaan Madinah.

1. Maksud piagam madinah
  Piagam Madinah merupakan piagam pertama yang ditulis secara rasmi dalam sejarah dunia.Perlembagaan yang ditulis dan dipersetujui bersama semua golongan orang Islam dan Yahudi yang menjadi warganegara Madinah Al-Munawwarah pimpinan Rasulullah SAW. Piagam madinah juga disebut sebagai Sahifah al-Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
  Piagam madinah juga menjadi asas pembentukan sebuah Negara Islam. Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quraan, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu. 


Soalan kedua.  Soalan kedua kebiasaannya berkaitan dengan faktor. Cadangan soalan: faktor perlaksanaan Piagam Madinah. Soalan yg mungkin ditanya adalah faktor perlaksanaan Piagam Madinah. Jawapan boleh dilihat di muka surat  127.


Murid boleh merujuk kepada jadual di muka surat 126 dan mengarang. (Menggunakan  bahan di muka surat 127)
Contoh esei seperti di bawah.

        Jika dihat dari sudut politik, perlaksanaan piagam bertujuan menjadikan orang Arab Madinah berada dalam keadaan tenteram. Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar juga disebut sebagai golongan penolong dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar  Muhajirin juga disebut sebagai golongan pendatang .
      Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir. Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Nabi Muhammad s.a/w dilantik sebagai pemimpin Madinah. Nabi  Muhammad juga dilantik menjadi hakim, bagi menyelesaikan masalah antara semua kaum di Madinah.
                Masyarakat Madinah bebas memeluk agama anutan masing-masing dan mengamalkan adat masing-masing asalkan tidak bercanggah dengan agama Islam.
                Masyarakat Madinah diangggap sebagai satu  ummah dan bertaggungjawab bertahankan Madinah. Masyarakat Madinah bertanggungjawab mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.
                Undang-undang Islam dipakai keseluruhannya, dan undang-undang adat dikekalkan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan Madinah.
                Dalam ekonomi, kerjasama ekonomi dituntut bagi memajukan ekonomi negara. Unsur penipuan dan riba dilarang.
                Orang Yahudi bebas menganut agama Yahudi, dan adat yang tidak bertentangan dengan Islam. Keselamatan mereka dijamin selagi mereka mematuhi Piagam Madinah.

Soalan ke 3.  Cadangan soalan: Kesan perlaksanaan kepentingan Piagam Madinah. Boleh juga merujuk kepada buku teks muka surat 128. Contoh esei cadangan.
 
Piagam Madinah penting kerana ia menjadikan Kerajaan Islam Madinah model kerajaan Islam unggul. Ianya juga mempunyai beberapa peruntukan berhubung dengan perkara-perkara seperti penerimaan Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan hakim bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
                 Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autoriti terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan hukumaan terhadap kesalahan -kesalahan di luar bidang kuasa ketua -ketua kaum berkenaan.
                 Orang-orang Islam dan bukan Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam. Contohnya orang Yahudi dan orang Islam.
                Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini. Aus dan Khazraj disatukan dengan nama Ansar, dipersaudarakan dengan orang Muhajirin.
                 Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
                Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam  secara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
                Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.
  Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam.
                Piagam ini juga memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain. Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam.Hal Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
                Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolak oleh orang-orang Yahudi.
                Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakanan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjamasa dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.


Soalan ke 4: cadangan soalan: Soalan ke 4, kebiasaannya ada kaitannya dengan Negara kita Malaysia.  Soalan berkaitan analisis di Malaysia selaras dengan pembentukan perlembagaan yang kukuh. Perlu dibahagikan kepada tiga aspek politik, ekonomi dan sosial. (setiap bahagian 10 markah)
 
 Dalam aspek politik, perlembagaan negara menjadikan kedudukan politik negara  aman, kukuh dan selamat.  Malaysia berada dalam situasi stabil tanpa campurtangan asing termasuk negara jiran. Pemerintah negara iaitu Duli Yang Teramat Mulia, Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja Melayu  berada dalam keadaan tidak tergugat dan bebas memerintah Negara mengikut acuan kita sendiri.
                Perlembagaan yang ditubuhkan berjaya meletakkan nama Malaysia sebagai negara yang aman dan tenteram. Tentera kerajaan Malaysia berjaya menjaga sempadan negara daripada dibolosi. Walaupun pernah dijajah oleh  British, Portugis, Belanda dan Jepun, sekarang, negara bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa luar, yang menjamin hak kebebasan Malaysia sepenuhnya
                Dengan kekuatan undang-undang, Malaysia bebas mengadakan hubungan dua hala dan diplomatik dengan  Negara luar yang lain.

b) ekonomi

                 Perlembagaan yang kukuh juga memastikan ekonomi negara bebas dan tidak dikawal oleh mana-mana kuasa. luar  Dengan kekuatan ini, Malaysia dapat mengadakan kerjasama perdagangan dengan mana-mana negara dalam dunia.
                Dengan kekuatan undang-undang juga boleh memastikan nilai matawang Malaysia adalah stabil. Rakyat Malaysia bebas  melabur kewangan dalam negara mahupun di luar negara kerana mata wang tambatan Malaysia adalah stabil.
                Rakyat Malaysia mampu membeli kenderaan dan rumah sendiri. Kekuatan pendapatan  negara juga meningkat kerana keadaan negara yang selamat dan terkawal.

c) sosial

                Kekuatan ekonomi dan politik yang stabil memberi impak yang besar kepada perpaduan kaum terutamanya kaum-kaum majoriti di Malaysia. Dengan kata lain, perpaduan kaum dapat dibentuk bukan sahaja antara kaum-kaum di Malaysia malah dengan rakyat asing yang berada di Malaysia seperti Indonesian, Bangladeshi dan sebagainya.
                Walaupun terdapat kes-kes jenayah,  kes jenayah di Malaysia masih dianggap terpencil dan kecil. Rakyat pelbagai keturunan masih bebas mengamalkan tradisi budaya dan kepercayaan agama masing-masing. Contohnya kaum lain menghormati perayaan sambutan Aidil Adha dan Aidil Fitri yang disambut oleh masyarakat Islam.


Soalan ke 5: cadangan soalan: Soalan ke 5, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia.  Soalan berkaitan analisis di Malaysia selaras dengan pembentukan perlembagaan yang kukuh.  Cadangan soalan, cabaran masyarakat berbilang kaum.

                Berbeza kaum di Malaysia, akan disambut dengan perbezaan ideologi politik yang sentiasa mengheret pelbagai kaum ke kancah perpecahan yang berpanjangan. Contohnya, masalah Parti Rakyat  yang dianggotai oleh Parti,Keadilan, DAP dan PAS dan masalah Parti daripada pihak Kerajaan yang dibarisi  oleh Barisan Nasional. Peperangan media yang berterusan menjadikan kedua-dua parti dalam keadaan menghentam antara satu sama lain.
                Terdapat beberapa isu sensitif  contohnya hak keistimewaan bumiputera yang tidak disenangi oleh kaum lain dan memerlukan pemahaman yang jelas. Kaum lain menganggap pemberian hak istimewa tersebut sebagai tidak adil dalam masyarakat yang dianggap ‘1 Malaysia’. Situasi ini menyebabkan terdapat pihak yang sengaja menghasut dalam mengwujudkan suasana menghentam kerajaan.
                Kepelbagaian kaum juga mengwujudkan ketidak seimbangan penguasaan ekonomi Antara kaum-kaum di Malaysia. Contohnya, kaum Cina dianggap majority terbesar dalam menguasai ekonomi negara terutamanya perniagaan. Kaum-kaum lain masih kurang terlibat dalam  perniagaan.
                Cabaran lain adalah keperluan menjaga  sensitiviti kaum lain berkaitan perayaan, adat dan warisan kebudayaan.

Soalan ke 6: cadangan soalan: Soalan ke 6, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia di peringkat dunia.  Cadangan soalan, cabaran  masalah Negara secara dalaman dan luaran.

                Cabaran yang terbesar dalam negara ini, adalah kebanjiran pendatang asing, sama ada secara sah atau haram. (Pendatang tanpa izin atau PATI)  Keadaan ekonomi yang kukuh menjadikan keperluan bagi mendapatkan pekerja adalah tinggi. Kemasukan pekerja dari Indonesia, Myammar dan sebagainya membawa bersama gejala sosial seperti jenayah terancang.
                Cabaran yang lain adalah dalam menuju Wawasan 2020 yang hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi, negara ternyata masih ketinggalan dalam mencapai hasrat mengwujudkan masyarakat yang saintifik dan progesif serta masyarakat yang bermoral dan beretika. Keruntuhan moral  ekoran pengaruh luar seperti pakaian yang mencolok mata dari Barat memberi impak yang besar terhadap perkembangan masyarakat Malaysia.
Soalan ke 7: cadangan soalan: Soalan ke 6, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia di peringkat dunia.  Cadangan soalan, cara menghadapi  masalah negara secara dalaman dan luaran.

                Kerajaan telah memperkukuhkan  cara mengesan cara kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mengetatkan pegawasan   pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI.
                Kerajaaan  dengan kerjasama pihak swasta mestilah meluaskan inisiatif agar masyarakat Malaysia  berminat untuk meneroka peluang-peluang baru dalam penggunaan teknologi. Program-program pembangunan dan penyelidikan (R & D) perlulah diperluaskan. R& D dipercayai akan melahirkan masyrakat celik ilmu dan seterusnya melahirkan masyarakat dari kelas bermindakan kelas pertama.
                Pembentukan k-masyarakat yang bermodalkan dan berteraskan ilmu pengetahuan akan dapat mengelakkan masyarakat Malaysia daripada terikut-ikut rentak budaya Barat yang tidak membawa kebaikan dalam masyarakat.

Soalan ke 8: cadangan soalan: Soalan ke 8, kebiasaannya ada kaitannya dengan nilai-nilai yang mesti dipraktikkan bagi menghadaoi cabaran. Murid boleh menggunakan pelbagai nilai yang berkaitan.

Contoh nilai – kesan penggunaan atau pengamalan nilai. 5 nilai mencukupi.

·         Berusaha
·         Bersyukur
·         Bersatu padu
·         Taat pada pemerintah
·         Berani mencuba
·         Memanfaatkan kurniaan Allah
·         Tidak putus asa
·         Berani menghadapi cabaran
·         Berdaya saing
·         Berwawasan
·         Bersifat kreatif
·         Sedia menerima perubahan
·         Kepentingan ilmu pegetahuan
·         Bersifat proaktif
·         Mengekalkan keamanan

Rakyat Malaysia mestilah berwawasan supaya meningkatkan ekonomi dan nama baik negara. Rakyat mestilah taat kepada pemerintah supaya kerajaan boleh menumpukan perhatian kepada kemajuan Negara. Rakyat Malaysia mestilah berani mencuba, tidak berputus asa dan berani menghadapi saingan dari luar.


  • Soalan ke 9: cadangan soalan: jawapan mestilah merujuk kepada tiga elemen di bawah. Pastikan anda menggunakan tiga elemen ini. Contoh esei.

·         Pengetahuan yang diperolehi
·         Iktibar kepada diri, bangsa dan Negara
·         Harapan untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang

Dengan mengkaji tajuk ini, saya mendapat pengetahuan mengenai factor pembentukan Perlembagaan Madinah dan kepentingan undang-undang ini dalam melahirkan Kerajaan dan kekuatan Islam pertama di dunia. Kekuatan undang-undang ini sepatutnya digunakan oleh kerajaan Malaysia bagi membentuk masyarakat pelbilang kaum.
Iktibar kepada diri saya adalah, saya mestilah sentiasa potitif  agar sentiasa memajukan diri. Bangsa dan negara yang berbeza mestilah menghormati agama, budaya dan warisan kaum lain yang berbeza seperti masyarakat Madinah yang berbilang kaum.
Harapan saya Negara kita akan terus gemilang terbilang dalam penghasilan situasi politik yang aman dan tenteram, keadaan ekonomi yang meningkat dan suasana sosial yang harmoni Antara kaum di Malaysia dan masyarakat luar yang datang bekerja di Malaysia.

SPM 2014 KERTAS 3 BAB 7 ( TEKS TINGKATAN 5)

KERTAS 3 SPM 2014.

Soalan SPM 2014: Selepas pembentukan Malaysia 1963, jentera pentadbiran Kerajaan Malaysia telah diperkemaskan berasaskan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Berdasarkan pernyataan di atas, murid akan diminta bagi membincangkan soalan2 di bawah. UNTUK PELAJAR SMKDJ, EDARAN AKAN DIBERIKAN KEPADA SETIAP ORANG PELAJAR.

Sila tulis dalam perenggan dengan kemas. Key word boleh digaris dengan warna pensil atau highlight supaya jelas. (berwarna merah dalam perenggan) 

Terdapat 17 soalan yang dijangka boleh ditanya dalam tajuk ini. Pelajar boleh print (mencetak) dan membawa masuk info semasa SPM. (copy, paste, dan jadikan page berwarna putih supaya lebih jelas)



Soalan 1
Berikan latar belakang demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.(5 markah)           
                  Negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat. Terdapat dua corak pemerintahan negara demokrasi, iaitu  Sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Republik. Sistem Raja Berperlembagaan mengekalkan raja sebagai pemerintah tertinggi peringkat negara dan negeri. Pemerintah dibantu oleh Perdana Menteri. Sistem Republik menolak institusi beraja dan diketuai oleh presiden yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.   (m/s 161-162)

Soalan 2
Bolehkan anda berikan definisi atau maksud demokrasi berparlimen   (5 markah)

            Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara. Raja-Raja Melayu  menjadi lambang taat setia rakyat. Dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen rakyat berpeluang membentuk  kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya. Rakyat berhak menyokong, mengekalkan atau menukarkan kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya.    (m/s 161-162)

Soalan 3
Senaraikan Ciri-ciri demokrasi berparlimen                             (15 markah)
Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen di Malaysia terbahagi kepada perlembagaan, Raja Berpelembagaan, Parlimen, Pilihan Raya, Kuasa pemerintahan Parti-parti politik dan Kebebebasan hak asasi. Ciri-ciri demokrasi berparlimen pada peringkat Kerajaan Persekutuan atau pusat diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Negara.
Pada peringkat negeri atau Kerajaan Negeri adalah  sultan atau raja. Yang di-Pertuan Agong akan dibantu oleh Perdana Menteri manakala sultan oleh Menteri Besar. Rakyat terlibat dalam pemerintahan dan Raja-Raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat. Rakyat juga berpeluang membentuk kerajaan dan bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya. Di samping itu, rakyat juga berhak menyokong, mengekal dan menukar kerajaan melalui pilihan raya.  
Pemerintahan dalam sistem demokrasi berparlimen berasaskan perlembagaan dan membenarkan perlembagaan dipinda. Di samping itu, menjaga hak kebebasan rakyat yang membenarkan parti-parti politik dibentuk dan menyertai pilihan raya. Di samping itu, terdapat Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Demokrasi berparlimen juga berasaskan konsep Raja Berperlembagaan. (m/s 161-162)




Soalan 4
Jelaskan kepentingan Perlembagaan kepada negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen                             (15 markah)

            Kepentingan perlembagaan kepada negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen ialah menjamin kestabilan sesebuah negara dengan menentukan rangka dan bentuk pemerintahan. Selain itu, perlembagaan menentukan bentuk kerajaan dan menjadi panduan kepada kerajaan supaya pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat. Rakyat memegang matlamat yang sama supaya semangat patriotisme dapat dibentuk. Contohnya Perkara 25 menyebut, seseorang warganegara Malaysia boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada Negara.
Perlembagaan menjamin taat setia rakyat kepada negara. Perlembagaan juga menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat. Contohnya, hak kebebasan berpersatuan, beragama dan memiliki harta. Dengan itu, rakyat mengetahui had kebebasan mereka di sisi undang-undang.          
Kepentingan lain ialah perlembagaan memperuntukkan peranan Yang di Dipertuan Agong dalam menjaga dan memelihara hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa mengabaikan hak-hak kaum lain. Hak tersebut adalah biasiswa, lessen perniagaan dan sebagainya.  
Perlembagaan juga boleh menjamin kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Perlembagaan menjadi rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri dan dengan situasi ini, pentadbiran negara dapat diselaraskan tanpa ada perbalahan. (m/s 163-164)
                        

Soalan 5
Jelaskan tujuan  dan kaedah pindaan perlembagaan oleh Parlimen Malaysia yang terdapat dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. (15 markah)

 Tujuan  pindaan perlembagaan dibuat oleh  Parlimen Malaysia  adalah untuk melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan negara dan melicinkan urusan pentadbiran Negara.

Selain itu  pindaan juga  bertujuan supaya perlembagaan sentiasa relevan dan sesuai dengan keperluan semasa. Pindaan  ini menjadikan perlembagaan  sebagai undang- undang yang munasabah dan kandungannya dipatuhi oleh rakyat dengan rela  hati. Perlembagaan yang dipinda melarang Perkara Sensitif dalam perlembagaan yang tidak boleh dipersoalkan seperti pemerintahan beraja, kedudukan Bahasa Melayu, Hak Keistimewaan Bumiputera.
Akta hasutan 1970, melarang individu daripada membincangkan  atau bercakap dan menyentuh sensitiviti atau menimbulkan hasutan sehingga menimbulkan perbalahan kaum. Tujuannya bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman serta keharmonian masyarakat.
Terdapat  empat kaedah pindaan perlembagaan oleh Parlimen. Kaedah pertama melibatkan persetujuan majoriti lebih suara dua pertiga dewan parlimen dan persetujuan Majlis Raja- Raja. Perkara pindaan yang termasuk dalam kaedah ini ialah Tugas dan Kuasa Majlis Raja- Raja Melayu, kewarganegaraan  dan perubahan sempadan negeri.

 Manakala kaedah kedua  melibatkan persetujuan majoriti lebih dua pertiga dewan parlimen dan kelulusan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan Sabah. Perkara  yang dipinda  seperti keanggotaan dan bidang kuasa mahkamah tinggi di Sarawak  dan Sabah. Perkara Perundangan dan pemerintahan kuasa negeri, agama, bahasa dan keistimewaan orang bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kaedah ketiga  pula  ialah  melibatkan persetujuan lebih suara dua pertiga  dewan parlimen dalam perkara-perkara yang tidak disebut dalam mana-mana kaedah pindaan.
Kaedah keempat pula  melibatkan persetujuan lebih suara dewan parlimen. Antara pindaannya berkaitan dengan kewarganegaraan, bentuk sumpah, ikrar,pemilihan dan persaraan ahli dewan Negara serta persempadanan pilihanraya.  (m/s 165-166)
Soalan 6
Huraikan dengan terperinci bidang Kuasa Yang di-Pertuan Agong                   (10 Markah)

Yang di-Pertuan Agong (YDA)  selain mengetuai tiga badan Kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman, adalah juga   Ketua Negara Malaysia. Baginda bertindak mengikut perlembagaan Malaysia, di mana baginda boleh memanggil dan membubarkan parlimen.
Yang di-Pertuan Agong juga  merupakan Kuasa tertinggi dalam Angkatan Tentera. Baginda boleh mengampun dan menangguhkan hukuman oleh Mahkamah Tentera. Selain itu, bidang kuasa baginda yang lain  menjaga, memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu. Baginda  juga berkuasa menitahkan Majlis Raja-Raja Melayu bersidang.
Bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong juga merangkumi  Ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Baginda juga berkuasa melantik Perdana Menteri, memecat menteri dan timbalan menteri atas nasihat Perdana Menteri.
YDA juga boleh mengisytiharkan undang-undang Darurat di bawah Undang-undang X jika keselamatan  Negara terancam.      (m/s 168)
                 
Soalan 7
Huraikan ciri-ciri /Fungsi Badan-badan Kerajaan.   (30 markah)
            Badan kerajaan terdiri daripada Badan Perundangan/Legislatif, Badan Pelaksanaan/Eksekutif dan  Badan Kehakiman/Judisiari
a) Badan Perundangan/Legislatif  (10 markah)

Perundangan merujuk pada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Fungsi badan perundangan, menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Parlimen ialah badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita. Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dewan Negara merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara kita.  Ahli Dewan Negara digelar Senator yang mewakili setiap negeri. Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.  Seseorang senator memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun dan  mestilah berumur sekurang-kurangnya 30 tahunTaraf Senator sama dengan Ahli Parlimen dan boleh dilantik menjadi ahli Jemaah Menteri. (P172)

b) Badan Pelaksanaan/Eksekutif (10 markah)
Badan Pelaksana terdiri daripada Jemaah Menteri atau Kabinet. Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara. Tugas Jemaah Menteri adalah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara. Perdana Menteri meupakan Ketua Jemaah Menteri. Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengetuai sesebuah atau beberapa kementerian.
Dewan Rakyat terdiri daripada ahli yang dilantik melalui proses pilihan raya. Tempoh jawatan mereka adalah lima tahun. Tugas ahli, menggubal dan meluluskan undang-undang peringkat Dewan Rakyat.
Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan. Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Menteri yang tidak diberkan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio.
Perkhidmatan awam di Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara. Beliau bertanggungjawab mengawasi perjalanan kementerian dan jabatan kerajaan. Beliau dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai pegawai perkhidmatan awam, contohnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.  Badan kerajaan dikenali sebagai Badan Berkanun, iaitu separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu.(p 172)

c) Badan Kehakiman/Judisiari  (10 markah)
Sistem mahkamah diwujudkan bagi melaksanakan tugas kehakiman di Negara ini. Sistem ini disusun berasaskan sistem hieraki piramid. Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara sivil dan jenayah. Perkara sivil berkaitan dengan saman biasanya memerlukan afidavit. Perkara jenayah juga melibatkan kanun keseksaan. Badan Kehakiman boleh menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan pihak badan pelaksana. Badan Kehakiman juga berkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
         Semua hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri. Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik supaya  hakim dilindungi daripada pengaruh politik untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang.
        Penasihat undang-undang kerajaan ialah Peguam Negara yang berperanan sebagai Pendakwa Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan dan dibantu oleh Pegawai Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman.

Soalan 8.
Jelaskan dengan terperinci konsep pilihan raya yang dijalankan di Malaysia.
Soalan 8.
Jelaskan konsep pilihan raya dalam yang diamalkan di Malaysia.
Pilihan raya adalah elemen penting dalam amalan demokrasi. Pilihan raya ialah proses memilih wakil rakyat samada di peringkat negeri atau persekutuan. Terdapat dua jenis pilihan raya di Malaysia iaitu Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil yang diadakan untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Rakyat. Pilihan Raya Umum diadakan serentak di seluruh Malaysia kecuali di Sabah dan Sarawak yang menjalankan pilihan raya berasingan bagi memilih Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka. 
Pilihan Raya Kecil diadakan apabila berlaku kekosongan pada mana-mana kerusi parlimen atau DUN hasil daripada kematian, perletakan jawatan dan perlucutan jawatan dan biasanya diadakan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi Sabah dan Sarawak.
 Kesemua proses pilihan raya ini dijalankan secara sulit dengan menggunakan prosedur telus dan teratur oleh Badan Bebas iaiti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Proses pengiraan undi dibuat secara terbuka dan direkodkan. Calon yang mendapat undi terbanyak dikira sebagai pemenang. (m/s 177)




Soalan 9
Jelaskan manafaat atau keistimewaan/kelebihan pilihan raya kepada rakyat dan Negara /keistimewaan perlaksaan demokrasi dalam Negara.  (10 markah)

Pilihan raya mendidik pemimpin bertanggung jawab apabila diberi mandat, dan akan hilang mandat jika tidak bertanggung jawab. Melalui pilihan raya akan berlaku persaingan sihat di kalangan ahli politik untuk membantu rakyat. Pilihanraya juga  menjadikan rakyat bertanggung jawab untuk memilih pemimpin. Rakyat berpeluang memilih parti politik yang baik untuk membentuk kerajaan.
 Saya juga berpendapat melalui pilihan raya, mana-mana individu berpeluang untuk menjadi calon ahli dewan Rakyat (peringkat pusat atau negeri) Idea-idea baharu dapat dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin baharu. Pilihan raya memberi peluang rakyat untuk samada mengekalkan atau menukarkan kerajaan. Saya juga berpendapat pilihan raya  memberi peluang parti politik menyediakan  manifesto atau akur janji untuk rakyat. Akhirnya, pilihan raya mendidik rakyat untuk mengambil tahu perkembangan politik  semasa yang berlaku di negara kita, dan menentukan corak pemerintahan demokrasi yang tulen melalui pilihan raya.





Soalan 10
Huraikan dengan terperinci konsep dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri)
(15 markah)
Malaysia merupakan sebuah Negara persekutuan. Persekutuan bermaksud penyatuan beberapa buah negeri yang mempunyai sebuah Kerajaan Persekutuan serta beberapa buah Kerajaan Negeri. Kedua-dua kerajaan ini menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam pentadbiran negara meliputi aspek ekonomi, sosial, keselamatan dan pendidikan. Kuasa eksekutif bagi  Kerajaan Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Jemaah Menteri pula menjalankan kuasa bagi pihak Yang di-Pertuan Agong yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Kerajaan Negeri berkuasa dalam pentadbiran negeri. Badan Pelaksana Negeri terletak pada Sultan atau Yang Dipertua  Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan menjalankan pentadbiran bagi pihak Sultan atau Yang Dipertua Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Majlis Tertinggi dan Kabinet diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Menteri Besar atau Ketua Menteri  dilantik oleh Sultan atau YDP Negeri.
Bidang kuasa Kerajaan Persekutuan mengikut Senarai Persekutuan meliputi Hal Ehwal Luar Negeri, Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri. Manakala bidang kuasa Kerajaan Negeri pula mengikut Senarai Negeri merangkumi Undang-Undang Islam dan Tanah. Bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengikut Senarai Bersama merangkumi Kebajikan Sosial, Biasiswa dan Taman Negara.

Soalan 11 Jelaskan Kebaikan/Kepentingan/Faedah/Manfaat sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam Negara ini.

(10 markah)
Sistem demokrasi Berparlimen banyak memberi kebaikan kepada negara  dan rakyat. Dari sudut social, Negara akan menjadi aman dan terhindar dari berlakunya perpecahan kaum kerana pemilihan dijalankan secara telus, benar dan teratur oleh  Suruhanjaya Pilihan Raya. (SPR)
 Hal ini akan memberi lonjakan dari segi ekonomi, di mana situasi Negara akan menarik ramai pelabur asing dan mereka akan menanam modal di negara kita, sekaligus membentuk situasi ekonomi yang lebih stabil dan dinamik. Ekonomi yang stabil juga akhirnya akan membentuk situasi negara yang aktif dalam persada perdagangan antarabangsa.
Jika dilihat dari sudut politik, melalui Sistem demokrasi berparlimen juga rakyat bebas bersuara. Mereka bebas memilih pemimpin dan ini akan menjamin kestabilan politik dalam negara. Ramai pelancong asing akan datang dan hal ini akan menaikkan  imej negara . Malaysia akan dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam semua bidang.

Soalan 12 Bincangkan kebaikan/kepentingan/keistimewaan  pengagihan kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.)                                  (10 markah)
Kebaikan pengagihan kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri mewujudkan keadaan politik yang lebih stabil. Kerajaan Pusat tidak akan campurtangan dalam pentadbiran negeri dan sebaliknya.
 Di samping itu, akan mewujudkan pentadbiran yang seragam. Seterusnya, pengagihan kuasa juga akan menyebabkan pentadbiran menjadi lebih cekap. Pembangunan antara negeri akan menjadi lebih mantap. Selain itu, perpaduan akan menjadi lebih erat di kalangan rakyat.
Pengagihan kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga akan menyebabkan program pembangunan Negara yang disusun akan menjadi lebih lancar. Hal ini juga dapat memupuk semangat taat setia kepada negara. Keamanan negara akan dapat dikekalkan. Seterusnya, keharmonian masyarakat tetap terpelihara. Akhir sekali, pengagihan ini dapat mengurangkan beban kerajaan pusat yang terpaksa menanggung kos bagi semua elemen dalam pentadbiran negeri.

Soalan 13
Bagaimanakah kejayaan dapat dibentuk Malaysia melalui amalan demokrasi berparlimen sehingga Malaysia dihormati di persada antarabangsa.
(10 markah)
Amalan demokrasi berparlimen dapat mewujudkan kestabilan politik yang menyebabkan negara kita dapat mengamalkan dasar dasar berkecuali.  Amalan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen telah menjadikan Malaysia pusat tumpuan pelaburan antarabangsa akibat kemakmuran ekonomi negara.            
Amalan sistem demokrasi yang mementingkan pilihan rakyat dengan pengekalan perpaduan kaum telah menjadikan Malaysia dihormati sebagai negara aman dan damai. Selain itu, amalan pilihan raya yang telus berjaya melahirkan pemimpin yang berwibawa dan terserlah sebagai tokoh dihormati di peringkat antarabangsa. Sistem pemerintahan demokrasi yang berjaya membangunkan bidang sosial dan pendidikan telah menyebabkan Malaysia menjadi hub pendidikan antarabangsa. .            
Amalan demokrasi berparlimen yang berjaya meningkatkan ekonomi telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Negara Dunia Ketiga.. Amalan demokrasi berparlimen yang berjaya membentuk identiti Malaysia menyebabkan Malaysia dianggap sebagai Negara berbilang kaum yang paling unik.. Amalan memberikan kebebasan kepada Negara agar mencapai objektif Wawasan 2020 iaitu  melahirkan masyarakat berminda kelas  pertama.

Soalan 14
Nyatakan usaha-usaha yang boleh dijalankan bagi memantapkan perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen/ nyatakan peranan warganegara Malaysia menjayakan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. / Bagaimanakah peranan yang boleh dimainkan oleh warganegara Malaysia bagi memastikan amalan demokrasi dijalankan.
(10 markah)

Usaha bagi memantapkan pelaksanaan demokrasi berparlimen di negara kita ialah senantiasa menghormati keluhuran perlembagaan negara. Sebagai rakyat, kita mestilah mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam Rukun Negara Malaysia. Contohnya, menghormati Raja dan pemimpin Negara Malaysia.
Selain itu, kita haruslah mempertahankan kedaulatan negara dari diceroboh. Sebagai rakyat, sudah menjadi keperluan tidak terlibat dengan anasir yang boleh merosakka negara seperti perhimpunan di jalanan.
Seterusnya mengadakan kempen kesedaran mengenai kepentingan daripada pengamalan demokrasi berparlimen di negara kita. Kita juga seharusnya menyemai semangat cinta akan negara di kalangan rakyat. Semangat perpaduan diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat agar kedaulatan negara terpelihara. Kita dilarang menimbulkan isu-isu sensitif dan sentiasa berpegang teguh dengan nilai sejagat.
Pengenalan dakwat kekal semasa pilihan raya contohnya oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) juga merupakan usaha kerajaan dalam memantapkan pelaksanaan demokrasi berparlimen. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan untuk membanteras golongan pelampau dalam negara.

Peranan yang perlu ada dalam diri setiap warganegara bagi menjayakan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen adalah dengan mematuhi segala undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, kita juga haruslah menyokong dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Seterusnya, kita mestilah meningkatkan semangat jati diri agar tidak terpengaruh dengan gejala negatif. Setiap warganegara perlu menghormati pemimpin negara dan mengamalkan semangat toleransi serta meningkatkan ilmu pengetahuan. Kita haruslah berusaha meningkatkan taraf hidup. Akhir sekali, mewujudkan perpaduan antara kaum dan mengutamakan rundingan dalam menyelesaikan masalah.


Soalan 15
Jelaskan cabaran-cabaran yang mungkin akan dihadapi oleh Malaysia dalam pelaksanaan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan langkah-langkah mengatasi cabaran tersebut)
(10 markah)

            Cabaran yang dihadapi ialah berlakunya masalah rasuah dalam proses pemilihan pemimpin dalam Parti-parti politik. Pilihanraya juga tercemar dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sering mengadakan protes atau demonstrasi jalanan. Rakyat juga mudah terpengaruh dengan idea media sosial baru terutamanya campurtangan negara luar. Media-media asing termasuk saluran intenet sering menggunakan elemen negatif bagi memburukkan negara.  Selain itu,institusi beraja akan turut dipersendakan dan perpaduan kaum akan sukar dicapai. Segelintir rakyat juga kurang menghayati semangat patriotik.

            Untuk mengatasi cabaran di atas pihak SPRM dan Badan Pencegah Rasuah mestilah menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas untuk membendung masalah rasuah. Badan Pencegah Rasuah perlu mengambil tindakan segera kepada ahli-ahli politik yang mencemarkan sistem pilihan raya. Selain itu, akta baru perlu digubal bagi membendung hak kebebasan bersuara yang melampau. Peranan SPR perlu dimantapkan lagi, bagi menjamin pilihanraya yang lebih adil.
            Pihak polis perlu memperketatkan pemberian permit dan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada penganjur yang mengadakan perhimpunan. Rakyat pula perlu diberi ilmu keagamaan yang secukupnya supaya dapat menilai baik buruk bahan yang terdapat dalam media sosial terkini. Manakala pihak-pihak yang mempersendakan institusi beraja perlulah menerima hukuman setimpal. Seluruh rakyat perlu mengamalkan konsep 1 Malaysia dan mengamalkan penghayatan Rukun Negara secara mendalam.

Soalan 16
Nyatakan nilai-nilai murni & Iktibar yang boleh didapati daripada perlaksanaan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen)                            (5 markah)

            Nilai-nilai dan iktibar yang boleh diambil daripada pelaksanaan sistem pemerintahan  demokrasi  berparlimen ialah memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memimpin negara. Setiap warganegara bertanggungjawab memilih pemimpin yang jujur,dan amanah agar dapat membina negara yang berintegriti. Setiap rakyat mesti menghormati pemimpin negara yang telah dipilih secara adil dalam proses pilihan raya agar pentadbiran negara berjalan dengan lancar. Kita mesti memikul tanggungjawab mengekalkan keamanan negara supaya keadaan politik negara menjadi stabil.
        Kita juga mestilah menghormati hak asasi dan kebebasan individu supaya setiap rakyat dapat membuat keputusan untuk mengekalkan  kerajaan berwibawa. Kita hendaklah mematuhi undang-undang negara agar keselamatan negara terjamin. Sebagai warganegara yang baik, kita mestilah menghormati agama dan budaya kaum lain agar konsep 1 Malaysia dapat dihayati oleh setiap warganegara.

SOALAN 17 : KESIMPULAN
(Kesimpulan keseluruhan isi yang dibincangkan)                    (5 markah)
a. Pengetahuan yang diperoleh

             Pengetahuan yang diperoleh ialah sistem ini merupakan  satu sistem pemerintahan yang membolehkan rakyat memilih pemimpin dan kerajaan melalui pilihan raya. Kerajaan yang memerintah perlu menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Di samping itu,  rakyat berpeluang membentuk sebuah kerajaan yang teguh.

b. Iktibar kepada diri bangsa dan negara
            Nilai murni  dan patriotisme yang diperoleh dengan memupuk semangat cinta akan negara. Kestabilan negara bergantung kepada permuafakatan antara rakyat dengan kerajaan. Di samping itu, negara terus dihormati kerana kestabilan politik. Kita hendaklah berganding bahu untuk memajukan negara dan bangsa.

c. Harapan menjadi bangsa dan negara Malaysia harmoni dan stabil
            Saya berharap agar negara akan terus aman dan makmur. Selain itu, kerajaan  yang adil dapat dikekalkan hasil kerjasama dalam kalangan rakyat. Perasaan setia dan bangga perlu diteruskan oleh generasi akan datang. Amalan demokrasi yang dijalankan di Malaysia perlulah diteruskan bagi memastikan pentadbiran demokrasi berparlimen terus dilaksanakan.