SPM 2016 (untuk tingkatan 5) SPM 2017 (untuk tingkatan 4)

BENGKEL SEJARAH SPM 2016; 21 OKTOBER 2016. PELAJAR SPM SILA HADIR KE SEKOLAH. PENERANGAN KERTAS 1, 2 & 3 AKAN DIADAKAN. EDARAN KERTAS 3 JUGA DIEDARKAN BERSAMA SET tRIAL 1 & 2. 1. Lihat tajuk SPM 2016 (tingkatan 5 2016) terdapat tajuk ulangkaji untuk Percubaan SPM 2016. 2.Lihat juga tajuk untuk bacaan Peta Minda, Modul interaktif, nota dan latihan. (label SPM 2016)

Followers

Saturday, June 28, 2008

Kemegahan Malaysia

1. Penerjunan di Kutub Selatan

Pada 14 Januari 2000, sekumpulan penerjun dari "Misi Kapsul Masa untuk Semua Insan’ telah membuat penerjunan di Patriot Hill, 1,800 km ke utara garisan. Sungguhpun penerjuannya tidak menepati sasaran, namun Malaysia merupakan negara Asia pertama yang terjun menggunakan payung terjun di benua ais tersebut.


2.Pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia

Pada Mei 2000, pakar bedah Dr V Pathmanathan mengetuai sekumpulan 55 orang dari Hospital Selayang, Selangor dalam menjalankan pembedahan pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia. Chong Lih Ying, yang dilahirkan tanpa lengan, menerima lengan daripada saudara kembarnya Lih Jeng, yang meninggal dunia akibat kerosakan otak semasa dilahirkan. Pembedahan untuk menyambung lengan Lih Jeng kepada tubuh Lih Ying mengambil masa mengambil masa 15 jam.


3.Malaysia ialah pengeksport alat pendingin hawa rumah

Malaysia ialah pengeksport alat pendingin hawa rumah terbesar di dunia. Alat-alat pendingin hawa ini dipasarkan di bawah jenama-jenama global.


4. Malaysia melancarkan mikrosatelit

Pada September 2000, Malaysia melancarkan mikrosatelit rekabentuk sendiri pertama iaitu Tiungsat-1. Mikrosatelit ini dimiliki dan diselenggarakan oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Kegunaan mikrosatelit bukan-komersial ini meliputi aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi dan sektor swasta. Kegunaan paling lazimnya adalah bagi tujuan pengimejan bumi menggunakan tiga kamera sudut tirus dan sebuah kamera sudut lebar.



5.Klon ciku (achras sapota linn) CM19

Klon ciku (achras sapota linn) CM19 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia boleh mencapai berat sehingga 500g – saiznya sama besar dengan sebiji buah epal Fuji, atau kira-kira tiga hingga empat kali ganda saiz buah ciku biasa.


6. Sistem transit rel ringan PUTRA
Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.


7. Sunway Lagoon di Petaling Jaya mempunyai jambatan gantung pejalan kaki terpanjang di dunia

Taman tema Sunway Lagoon di Petaling Jaya mempunyai jambatan gantung pejalan kaki terpanjang di dunia dan kolam luncur ombak buatan terbesar di dunia.


8. Istana Budaya
Istana Budaya (dahulunya dikenali sebagai Panggung Negara) di Kuala Lumpur adalah salah sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai kemudahan pentas yang canggih untuk pementasan acara kesenian dan kebudayaan. Ini meletakkannya dalam senarai sepuluh panggung yang tercanggih di dunia. Direkabentuk oleh arkitek tempatan, Muhammad Kamar Ya’akub dan dibangunkan dengan kos RM210 juta, kompleks ini meliputi kawasan seluas 5.44 hektar dengan ukuran lantai seluas 21,000 meter persegi. Bentuk binaan utama Istana Budaya direka mengikut gubahan sirih junjung, manakala pelan lantai bangunan ini disusun berkonsepkan rumah tradisional Melayu yang mempunyai tiga bahagian iaitu tangga utama dan serambi (lobi), rumah ibu (auditorium) dan dapur (pentas utama dan dewan latihan)

9.Skrol Elektronik pertama di dunia -

Universiti Multimedia (MMU) memperkenalkan skrol elektronik pada 26 Februari 2000, dan menjadi universiti pertama di dunia memperkenalkan skrol elektronik. Di dalam skrol ini, graduan akan diberikan sebuah CD-ROM dan kad pintar berasaskan kad mikrocip yang merekodkan segala maklumat graduan. Dokumen digital ini menggunakan teknologi kritografi yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap maklumat yang terkandung di dalamnya.


10. Putrajaya

Bandar ini merupakan Pusat Pentadbiran kerajaan Malaysia yang baru. Dengan imej sebagai bandaraya taman, serta bercirikan futuristik, moden, unik, bandaraya dilengkapi kabel fibre-optic dan teknologi maklumat terkini yang bakal menjadi pusat pentadbiran, komersil serta pusat budaya di Malaysia. Ia telah dibuka kepada orang ramai pada 23 Mac 2000. Putrajaya terletak di 4581 hektar tanah di kawasan selatan MSC, iaitu 25 kilometer dari Kuala Lumpur dan 20 km dari KLIA, Sepang.

11.Wetland Putrajaya yang terletak di pinggir pusat pentadbiran baru Malaysia
Wetland Putrajaya yang terletak di pinggir pusat pentadbiran baru Malaysia adalah taman paya air tawar buatan yang terbesar di kawasan tropika. Di samping berperanan sebagai pusat pendidikan, riadah dan eko-pelancongan, taman ini berfungsi sebagai sistem kawalan banjir dan penampung sistem penapisan air semulajadi bagi keseluruhan 600 hektar Tasik Putrajaya. Lebih dari 70 spesies tanaman paya dan 24 spesies ikan air tawar telah dibiakkan di taman ini.


12. Tokoh pendidikan Prof. Dr Chin Yew Sin mencatat rekod dalam buku Record Book of World’s Initiators
Tokoh pendidikan Prof. Dr Chin Yew Sin mencatat rekod dalam buku Record Book of World’s Initiators di atas pencapaian luarbiasa di dalam bidang akademik. Dr Chin memegang 12 rekod dunia, di antaranya: Orang pertama di dunia menghadiri lapan majlis konvokesyen untuk menerima lima ijazah, tiga diploma pasca-siswazah dan sijil dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Scotland dan Malaysia dalam masa setahun; orang pertama di dunia yang memiliki empat ijazah sarjana muda dan melengkapkan ijazah pada tahun yang sama; orang pertama di dunia yang berjaya melengkapkan program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pentadbiran Perniagaan dalam masa empat bulan, ijazah MBA dalam masa sembilan bulan dan Doktor Falsafah dalam masa 15 bulan; dan orang pertama di dunia yang memiliki 72 kelayakan termasuk 11 ijazah, diploma pasca-siswazah dan sijil, dua diploma, 15 sijil, tujuh sijil profesional dan 37 keahlian profesional.



13. Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia

Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia, dengan 250 juta orang penutur di Asia Tenggara dan 300 juta penutur di seluruh dunia.


14.K-Ekonomi (Ekonomi berasaskan Pengetahuan)

Semasa pelancaran di "Second Global Knowledge Conference" pada 8 Mac 2000, Y. A. B. Perdana Menteri telah menyampaikan ucap utama bertajuk "Transcending The Divide" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara yang mengamalkan ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge economy) .

Pada April 2001, Malaysia menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai GunaPada April 2001, Malaysia menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai Guna yang memuatkan pelbagai aplikasi Kerajaan dan aplikasi pembayaran. Kad ini adalah satu daripada tujuh aplikasi perdana yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC)

15.Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI

Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI (Artificial Intelligent Neural-Network Identity). AINI dibangunkan oleh Prof Madya Dr Goh Ong Sing bersama sepasukan penyelidik dari Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka. Robot maya ini boleh bersembang dengan manusia dalam hampir semua topik perbualan. Ia boleh menunjukkan tindakbalas dengan ekspresi muka serta pergerakan tubuh yang bersesuaian dengan perbualan, serta boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Itali, Jepun, Korea, malah Bahasa Inggeris dengan loghat Amerika atau British.



16. Kembar Siam berjaya dipisahkan

Pada Nov 2002 pasangan kembar Siam Azami dan Azama Kamarul Zaman, sembilan bulan, telah berjaya dipisahkan oleh pasukan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur yang diketuai oleh pakar bedah pediatrik Dr. Zakaria Zahari. Walaupun Malaysia telah banyak kali berjaya membuat pembedahan pemisahan kembar Siam sejak 1989, pembedahan ke atas Azami dan Azama merupakan yang paling rumit kerana organ dalaman mereka bercantum dan sesetengahnya bersilang.


17. Berjaya berenang merentasi Selat Inggeris

Lennard Lee, 20, seorang pelajar jurusan perubatan di Universiti Cambridge, berjaya berenang merentasi Selat Inggeris sejauh 33.6km dari Dover, England ke Calais, Perancis dalam masa 9 jam 45 minit pada Julai 2004. Lee menjadi rakyat Malaysia kedua berjaya merenangi Selat Inggeris, selepas Abdul Malik Mydin, 29, berjaya melakukannya dalam masa 17 jam 35 minit pada Ogos 2003.

18. Keamanan dan kesejahteraan

Salah satu daripada pencapaian terbesar Malaysia sejak Merdeka adalah keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh penduduknya yang berbilang kaum. Malaysia merupakan negara peneraju utama di dunia dalam usaha menentang keganasan. Malaysia melancarkan pengwujudan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Menentang Keganasan (SEARCCT) di Kuala Lumpur pada 2003.

19.Kompleks gas asli cecair (LNG) bersamaan dengan keluasan kira-kira 402 buah padang bola sepak.

Kompleks gas asli cecair (LNG) berharga RM 16.6 billion kepunyaan Petronas yang terletak di Bintulu, Sarawak, ialah kompleks LNG bersepadu terbesar di dunia pada masa ini. Dibuka pada Mei 2003, kompleks ini mempunyai keluasan 276 hektar, atau bersamaan dengan keluasan kira-kira 402 buah padang bola sepak.


20.Malaysia ditarafkan sebagai negara keempat paling berdaya saing
Pada Mei 2003, Malaysia ditarafkan sebagai negara keempat paling berdaya saing di kalangan negara-negara berpenduduk lebih daripada 20 juta. Penarafan ini dibuat berdasarkan kajian tahunan yang dibuat oleh Sekolah Perniagaan IMD di Lausanne, Switzerland.


21.Paduka Sharifah Mazlina memecahkan rekod dunia


Pada 30 Dis 2004 pensyarah Psikologi Sukan Universiti Teknologi Mara, Datin Paduka Sharifah Mazlina memecahkan rekod dunia sebagai wanita Asia pertama merentasi Antartik dengan meluncur ski dari Kutub Selatan ke Hercules Inlet yang meliputi jarak sejauh 1,100 km. Sharifah Mazlina memulakan ekspedisinya pada 9 Dis, meluncur sejauh 30km - 40km sehari. Antartik diketahui sebagai tempat paling sejuk di dunia, dengan suhu serendah 80 darjah Celsius dan purata kelajuan angin 85 km sejam.


22.Memecahkan rekod dunia

Pada Sept 2004, Nur Malena Hassan, 27, memecahkan rekod dunia setelah tinggal bersama 6,069 jengking selama 36 hari dalam kurungan kaca berukuran 3m x 3.6m Beliau hanya keluar dari kurungan itu selama 15 minit sehari untuk membersihkan diri.


23. Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia dengan kerjasama pereka cipta Zulkifli Haron
Pada April 2004, Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia dengan kerjasama pereka cipta Zulkifli Haron, berjaya mencipta robot yang mampu berfungsi menggantikan manusia dalam menjalankan kerja-kerja keselamatan apabila berlaku kecemasan di dalam bilik radioaktif. Antara lain fungsi robot ini ialah memberi bacaan dedahan radiasi, mengangkat beban serta membaiki kerosakan. Robot ini juga boleh menjalankan pelbagai fungsi lain di luar bilik radioaktif.


24. Rakyat pertama Malaysia berjaya menyeberangi Selat Inggeris PUTRAJAYA, 8 Ogos -- MALAYSIA BOLEH....Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi menjulang tangan dua wira negara perenang maraton Abdul Malik Mydin (tiga dari kiri) dan pelayar Datuk Azhar Mansor (tiga dari kanan) pada majlis sambutan kepulangan Abdul Malik dari London, England di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini, hari ini.
Abdul Malik, 28, merupakan rakyat pertama Malaysia yang berjaya menyeberangi Selat Inggeris sejauh 32.8 kilometer dari Dover, England ke Calais, Perancis pada 3 Ogos lepas.
Azhar pula pelayar pertama negara yang berjaya belayar mengelilingi dunia secara solo pada 1999.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishamuddin Tun Hussein (kiri) dan Timbalannya Datuk Ong Tee Keat (kanan).







25. Rakyat Malaysia kedua yang menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia
Pada Mei 2004 mahasiswa Universiti Teknologi Mara Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali, kedua-duanya 22 tahun, menjadi pelajar universiti dari Asia Tenggara yang pertama berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest. Mereka merupakan kumpulan rakyat Malaysia kedua yang menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia tersebut selepas kejayaan N. Mohandas dan M. Magendran pada Mei 1997.


26. Mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
Pada 2005, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri mencatat sejarah akademik negara bila mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Tujuh daripada tujuh belas mata pelajaran yang diambilnya tidak ditawarkan di sekolahnya. Nur Amalina tidak mendapatkan tuisyen tambahan dan merupakan seorang pelajar yang cergas dalam kegiatan ko-kurikulum.


27.Pemain nombor satu dunia.

Kejayaan terbesar menjuarai Terbuka Dunia di Hong Kong meletakkan ratu skuasy wanita sama taraf dengan atlit sukan terbilang negara

IMPIAN besar mahu menakluk dunia suatu hari nanti akhirnya menjadi kenyataan tahun ini. Tiada siapa yang mampu menafikan Nicol Ann David, gadis kelahiran Pulau Pinang untuk bergelar juara dunia sekali gus ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia.


28. Perlantikan Yang Dipertuan Agong ke 13

13 Dis 2006 - Perlantikan Yang Dipertuan Agong ke 13 - Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Maktafi Billah Shah di Istana Negara

29. Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07)
6 Jan 2007-Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan penuh gilang-gemilang disaksikan berpuluh-puluh ribu hadirin termasuk pelancong asing di Taman Tasik Titiwangsa serta jutaan warga dunia menerusi siaran langsung ke 10 negara.





30. Terowong SMART

CANGGIH... Beberapa kenderaan digunakan bagi menguji laluan dalam Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) sepanjang empat kilometer di Kuala Lumpur, semalam. Terowong dwifungsi yang dijangka dibuka kepada lalu lintas akhir Mac ini, akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi banjir kilat di ibu negara menerusi laluan air di bahagian bawah terowong itu. – Bernama.

30 Mac 2007-Jalan terowong bawah tanah atau juga dikenali sebagai terowong SMART bernilai RM1.9 bilion menjadi laluan alternatif kepada 200,000 pengguna jalan raya.

Laluan kira-kira empat kilometer itu bakal memendekkan masa perjalanan kepada lima minit dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi menuju ke Bulatan Kampung Pandan.

Projek SMART atau singkatan kepada Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir yang dimulakan pada Januari 2003 dirangka, dengan dwifungsi utama iaitu untuk mengatasi masalah banjir di ibu negara dan sebagai laluan trafik.

Sebagai terowong lencongan air ketika banjir kilat melanda ibu negara, ia mampu menampung sehingga tiga juta meter padu air dengan mengalihkan dari Sungai Klang di Kampung Berembang, Ampang melalui terowong ke kolam tadahan terletak di Taman Desa, Jalan Klang Lama seterusnya dilepaskan secara terkawal ke Sungai Kerayong.

Pada waktu yang sama, terowong ini digunakan sebagai laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Tips belajar sejarah

Maafkan cikgu ya, ada ramai juga murid yang meminta cikgu bagi tips belajar sejarah, dan cikgu tidak berkerkesempatan menjawab secara personal...

1.Disebabkan sejarah adalah peristiwa yang sudah berlaku, paling penting, fahamkan peristiwa, pasang telinga ketika cikgu anda bercerita, mata lihat apa yang disampaikan... apabila sudah faham, anda akan seronok apabila mengetahui sesuatu peristiwa.. tarikh tidak penting..malah tiada soalan yang ditanya mengenai, 'bilakah peristiwa ini berlaku'...

2. Sejarah - fahami faktor, situasi dan kesan.. mesti fahami semuanya..paling asas, mesti tahu, apa dia Negeri-negeri Selat(NNS), Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB)dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu(NNMTB). Cikgu mudahkan,NNS yang mengadap Selat Melaka, pelabuhan (P Pinang, Melaka dan singapura) NNMB -Perak, sgor,pahang dan Negeri 9 (kaya dengan bijih dan pahang-emas) NNMTB (negeri utara -Perlis dan kedah) pantai timur (terengganu dan kelantan) dan Johor.

3.Biasanya murid malas mendengar,sama ada berkhayal atau sebagainya (bercakap) menjadikan dia tidak mendengar perkara penting yang disampaikan... cuba kaitkan dengan sesuatu tanda / perkara yang memudahkan anda mengingati peristiwa tersebut ..contoh, Rancangan Briggs berkaitan - fizikal (kpg baru, pagar, home guard, ic,kawal makanan, kad catuan,jaga) Perang Saraf - ambil hati (kawasan putih-hitam..

Kenapa Sarawak mahu diserahkan balik kepada British oleh Vyner Brooke.. cikgu ada ceritakan kepada andakan sebabnya, dia seorang playboy, as a playboy mesti ada wang.. to get girls.. jadi dia jual (buku teks say, bagi- so kena terima as bagi) jadi, logikkan...

4.Lakukan banyak latihan... biasanya soalan PMR atau SPM objektif akan berulang.. cuma ayatnya yang berbeza.. aspek kemahiran yang ditanya berbeza tapi maksud soalan sama... untuk f4 dan 5, kena cuba banyak soalan dan latihan.. kalau anda malas berlatih skill menulis, hmm.. susahlah..

5.Cuba belajar daripada filem, tengoklah u tube, film... anda akan ingat dengan lebih lama sebab ada bunyian dan gambar (visual) yang menjadikan otak kita dapat menyimpan maklumat dalam kotak ingatan jangka masa panjang.

6.Kalau tiada film atau u tube yang berkaitan, visualkan dalam kepala anda.. supaya lebih lama dapat mengingati sesuatu perkara..kalau anda boleh bayangkan buku "harry potter" dalam kepala anda, tidaklah sesular mana membayangkan cerita sejarahkan??

7.Jangan lebih penting, kalau anda kurang suka sejarah, perlulah 'cinta' sejarah supaya lebih mudah belajar sejarah.. bukankah lebih mudah menyayangi sesuatu atau seseorang jika anda 'suka' atau 'cinta'?? Kalau anda tidak suka guru sekalipun, cubalah untuk 'sukakan' dia... sebab anda akan mendapat balik apa yang sering anda berikan...

Tuesday, June 24, 2008

SPM SEJARAH 2010 - RAMALAN

SEJARAH TINGKATAN 4.


Bab 1 : Tamadun Awal Manusia
1. Nyatakan faktor pembinaan bandar terancang dalam tamadun Indus
2. Apakah pencapaian tamadun Indus dalam bidang seni bina ?
3.Nyatakan sumbangan Tamadun Indus dalam perancangan bandar.
4.Namakan bandar pelabuhan dan bandar dalam Tamadun Indus.
5.Nyatakan sumbangan Tamadun China dan India dalam pendidikan.
6.Jelaskan sumbangan senibina dalam tamadun China dan India.
7.Huraikan sumbangan teknologi dalam Tamadun India dan China.
Bab 3 : Tamadun Awal Asia Tenggara
1. Nyatakan perkembangan yang membawa terbentuknya pelabuhan entreport
2. Apakah faktor-faktor masyarakat maritim menjadi pelaut yang handal ?
3. Huraikan cara-cara kedatangan pengaruh India ke Asia Tenggara
4.Pengaruh Hindu Buddha terhadap masyarakat dalam bidang politik, sosioekon.
4. Jelaskan pengaruh Hindu dan Buddha yang terdapat pada candi Angkor Wat dan Borobodur

Bab 4 : Kemunculan Tamadun Islam dan Perkembanganya di Makkah
1. Mengapakah masyarakat Arab Quraisy menentang ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammmad s.a.w.
2. Huraikan cara-cara penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Arab Quraisy terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
2. Bagaimanakah Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Arab Quraisy
4-. Jelaskan kehidupan masyarakat Arab Quraisy dari dalam aspek sosial dalam Zaman Jahiliyah

Bab 5 :Kerajaan Islam di Madinah.
1. Konsep hijrah dan peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a,w. dari Makkah ke Madinah pada tahun 622M.
2. Kepentingan hijrah dari Makkah ke Madinah terhadap perkembangan Islam

Bab 7 : Islam di Asia Tenggara
1. Dengan menggunakan bukti-bukti yang tertentu, jelaskan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara,
2. Huraikan faktor-faktor yang membawa kepada penyebaran Islam ke Asia Tenggara.

Bab 8 : Pembaharuan dan Pengaruh Islam di Malaysia Sebelum Kedatangan Barat
1. Huraikan pengaruh Islam terhadap institusi Kesultanan Melayu dan sistem pendidikan di Tanah Melayu sejak abad ke 15M.

Bab 9 : Perkembangan di Eropah
1 Huraikan ciri-ciri Zaman Renaissance yang berlaku di Itali (SPM 2009****)
2. Bagaimanakah Revolusi Pertanian dan enjin berkuasa wap membantu dalam perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain.
3. Apakah kesan Revolusi Pertanian dan Revolusi Perindustrian terhadap kegiatan perdagangan antarabangsa dan sistem pengangkutan di Eropah.

Bab 10 : Dasar British dan Kesannya Terhadap Ekonomi Negara
1. Mengapakah pada awal abad ke 20, penguasaan pembesar Melayu dalam kegiatan periombongan bijih timah mulai merosot.
2. Nyatakan faktor-faktor yang mendorong imigran meninggalkan negara mereka untuk datang ke Tanah Melayu pada abad ke 19
3. Huraikan cara-cara kemasukan buruh Cina ke Tanah Melayu.

SEJARAH TINGKATAN 5


Bab 1 : Kemunculan dan Perkembangan Nasionalisme di Asia Tenggara
1. Bagaimanakah sistem pengangkutan dan perhubungan memesatkan imperialisme Barat di Asia Tenggara.
2. Apakah perubahan pentadbiran Barat yang diamalkan di Thailand.

Bab 2 : Nasionalisme di Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua
1. Jelaskan perjuangan Penghulu Dol Said menentang British di Naning.
2. Huraikan peranan dan perjuangan Kaum Muda dalam mengubah minda masyarakat Melayu.
3 Huraikan dasar pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu,
4 Apakah tindakbalas penduduk tempatan terhadap pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.
8. Huraikan perjuangan persatuan-persatuan Melayu dalam gerakan nasionalisme di Tanah Melayu.

Bab 3 : Kesedaran Pembinaan Negara dan Bangsa
1. Huraikan ciri-ciri utama dalam pembinaan Negara dan Bangsa
2. Jelaskan warisan Kesultanan Melayu Melaka yang masih diamalkan di Johor,Perak dan Pahang.
3. Nyatakan isi kandungan Undang Tubuh Negeri Johor 1895
4. Apakah unsur persekutuan dan demokrasi yang terdapat dalam pentadbiran di Negeri Sembilan.

Bab 4 : Pembinaan Negara dan Bangsa Malaysia
1. Apakah faktor-faktor penubuhan Malayan Union
2. Mengapakah orang Melayu menentang Malayan Union
3. Nyatakan bentuk tindakan orang Melayu menentang Malayan Union
4. Huraikan syarat-syarat perjanjian Malayan Union
5. Jelaskan reaksi golongan radikal Melayu terhadap pembentukan Malayan Union
6. Apakah faktor-faktor British memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu 1948

Bab 5 : Pembinaan Negara dan Bangsa yang Merdeka
1. Apakah maksud Pakatan Murni
2. Nyatakan Iangkah- langkah untuk mencapai Pakatan Murni antara tahun 1949-1955
3. Jelaskan isi kandungan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957
4. Huraikan kepentingan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957

Bab 7 : Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran Negara Malaysia
1. Nyatakan ciri-ciri Dewan Negara dalam Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia
2. Huraikan proses penggubalan undang-undang yang dijalankan oleh Badan Perundangan di Malaysia.
3. Jelaskan perkara-perkara yang terkandung dalam Senarai Bersama
4. Senaraikan Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Bab 8 : Pembangunan dan Perpaduan Untuk Kesejahteraan
1. Apakah usaha-usaha memartabatkan Bahasa Melayu ?
2. Huraikan perlaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Bab 9 : Malaysia Dalam Kerjasama Antarabangsa
1. Apakah faktor-faktor yang membawa kepada tercetusnya Perang Dunia Pertama?
2. Nyatakan kesan-kesan Perang Dunia Pertama yang membawa kepada berlakunya Perang Dunia Kedua?
3. Buktikan penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
4. Apakah faedah-faedah yang diperolehi oleh Malaysia dalam Persatuan Komanwel ?
5. Huraikan sumbangan dan faedah yang diperolehi oleh Malaysia dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).
6. Jelaskan penglibatan Malaysia dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM)
7. Apakah matlamat dan perjuangan Pertubuhan Negara-Negara Selatan (G 15)

SPM SEJARAH : ANALISA 2004-2007

Salam Sejarah buat semua calon SPM 2008,Berikut adalah tajuk SPM Sejarah 2004-2007

Tahun 2004
- Tamadun Yunani
- Piagam Madinah
- Imperialisme Barat dan sistem birokrasi
- Rukun Negara
- Sistem Khalifah
- Perusahaan getah di TM
- nasionalisme tahap 1
- Sistem pilihanraya di Malaysia
- Faktor penggubalan dasar luar Malaysia
- ASA

Tahun 2005
- Tamadun Rom
- Peristiwa Hijrah
- tanaman komersil
- penentangan pemimpin tempatan
- peperiksaan awam China
- Tamadun Islam & sumbangannya
- Imperialisme Barat
- Reaksi penubuhan Malaysia
- Blok-blok kuasa dunia

Tahun 2006
- Dakwah Islam di Mekah
- Ekonomi Sara diri
- Sistem Ahli
- K-Ekonomi
- Tamadun Mesopotamia
- Takrif tamadun
- Pengaruh Islam di AT - bahasa, amalan dan nilai hidup
- Malayan Union
- DEB
- Perang Dunia 1 & 2

Tahun 2007
- Kerajaan maritim
- Sistem Khalifah - pemilihan, t/jawab, Abu Bakar as-Siddiq
- Imperialisme Barat - takrif, perluasan kuasa, persaingan, slogan
- Pembentukan Malaysia
- Islam di AT - kebudayaan, kesenian, tulisan
- Revolusi pertanian & perindustrian
- Pembentukan & ciri-ciri negara bangsa
- Perlembagaan Malaysia
- ASEAN & dasar luar Malaysia

Friday, June 13, 2008





Jawapan & Ulasan
1. Kata-kata kunci untuk soalan di atas telah dinyatakan melalui peta minda di bawah ini. Namun demikian kata-kata kunci itu perlu dihuraikan sehubungan dengan kehendak soalan.



Contoh

Kata kunci - Terusan Suez

Huraian:
Apabila Terusan Suez dibuka, jarak antara Barat dan Timur semakin pendek dan ini telah menggalakkan kegiatan imperialisme.

Kata Kunci - Kapal Wap

Huraian:
Kapal wap telah menyebabkan perjalanan jarak jauh dapat dilakukan. Lebih banyak barangan dapat diangkut. Kapal wap juga tidak bergantung kepada tiupan angin. Semua kelebihan ini telah menggalakkan imperialisme Barat di Asia Tenggara.



2. Berdasarkan pernyataan pada soalan, jelaskan ciri-ciri birokrasi Barat yang telah diperkenalkan di Asia Tenggara.

• Rangka Jawapan

Kerajaan pusat melalui penyatuan wilayah
Gabenor Jeneral menjadi ketua pentadbir
Pentadbiran melalui biro
Pegawai barat dilantik sebagai ketua biro
Undang-undang Barat digunakan
• Soalan ini memerlukan para pelajar untuk mengemukakan kata-kata kunci yang tepat dan betul. Sebagai contohnya para pelajar mestilah boleh mengemukakan istilah-istilah yang tepat seperti Gabenor Jeneral dan Biro. Istilah yang salah akan membawa pengertian yang berlainan.



3. • Rangka Jawapan

Pentadbiran pusat diketuai oleh Gabenor Jeneral
Pentadbiran tempatan dikendalikan oleh pembesar tempatan dengan pengawasan pegawai Belanda
Jabatan-jabatan kerajaan ditubuhkan
Dewan Tempatan ditubuhkan
Volksraad iaitu Majlis Rakyat ditubuhkan sebagai langkah ke arah kemerdekaan
• Para pelajar boleh menguasai soalan di atas dengan mengingati kata-kata kunci berikut;

Gabenor Jeneral
Pengawasan pegawai Belanda
Jabatan
Dewan Tempatan
Volksraad




Soalan Struktur
1.
a)
Bijih timah, kayu jati,tebu kelapa

Penerangan : Hanya bahan-bahan ini sahaja diterima sebagai jawapan kerana di Asia Tenggara pada abad ke -18, pertanian moden seperti kelapa sawit, koko dan getah belum diperkenalkan.




b)
Sistem pemerintahan beraja

Penerangan : Jawapan sistem monarki turut diterima. Jawapan-jawapan lain yang berkaitan dengan jawatan-jawatan moden tidak dapat diterima kerana ia diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat.




c)
Suatu keperluan untuk menguasai ekonomi negara-negara jajahan.

Penerangan : Para pelajar perlu menyedari bahawa kekayaan dan potensi ekonomi negara-negara Asia Tenggara merupakan faktor tarikan penting kepada kuasa-kuasa imperialis Barat untuk menguasai rantau ini. Penguasaan politik hanyalah alat dan pra syarat kepada matlamat utama iaitu penguasaan ekonomi.




d)
Kerajaan pusat melalui penyatuan wilayah

Gabenor Jeneral ialah ketua pentadbir

Pentadbiran melalui biro

Pegawai barat dilantik sebagai ketua biro

Undang-undang Barat digunakan

Penerangan : Fakta-fakta di atas perlu ditulis dengan istilah yang tepat kerana ia mempunyai pengertian yang khusus dan tertentu.

SPM Latihan 1: Nasionalisme

Imperialisme Barat di Asia Tenggara
Analisa Soalan
Soalan Esei
1.
Bincangkan faktor-faktor yang menggalakkan imperialisme Barat di Asia Tenggara yang bermula pada abad ke-19.



2.
Apabila kuasa-kuasa imperialis telah menguasai Asia Tenggara, mereka telah merubah sistem pentadbiran Barat.



3.
Apakah perubahan-perubahan pentadbiran yang telah berlaku di Indonesia akibat kehadiran Belanda?


Soalan Struktur

1.
a)
Nyatakan dua bahan mentah yang ingin dikuasai oleh penjajah Barat di Asia Tenggara pada abad ke-18.

(2 markah)


b) Apakah bentuk pentadbiran negara-negara Asia Tenggara sebelum penjajahan Barat?

(2 markah)

c) Mengapa penjajah Barat merasakan perlu untuk merubah sistem politik tradisional Asia Tenggara?

(2 markah)

d) Jelaskan ciri-ciri umum sistem birokrasi Barat yang diperkenalkan di Asia Tenggara.

(4 markah)

Sekolah Kluster





30 disenarai sekolah kluster

Oleh HELMI MOHD. FOAD




--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 9 Jun - Sebanyak 30 sekolah lagi daripada pelbagai aliran telah dipilih bagi disenaraikan sebagai sekolah kluster, menjadikan keseluruhannya sebanyak 60 sekolah sejak ia diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah sekolah kluster akan bertambah setiap tahun sehingga mencapai sasaran 300 sekolah kluster pada 2010.

Beliau berkata, sekolah-sekolah kluster fasa kedua itu turut layak memohon peruntukan khas berjumlah sehingga RM500,000 untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah ditentukan.

''Sehingga April 2008, sebahagian peruntukan telah disalurkan kepada 30 sekolah kluster bagi fasa pertama manakala baki peruntukan akan diturunkan berdasarkan prestasi perbelanjaan semasa setiap sekolah.

''Peruntukan untuk sekolah kluster fasa kedua pula akan diturunkan selepas permohonan sekolah-sekolah tersebut diluluskan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Panel Penasihat Sekolah Kluster di kementeriannya di sini hari ini.

Pelaksanaan sekolah kluster adalah salah satu fokus utama yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.

Menurut Hishammuddin, pada masa yang sama kementerian akan menilai dan meneliti 75 perakuan dan cadangan yang dikemukakan panel penasihat bagi menambah baik dan memperkukuhkan pengurusan serta pentadbiran sekolah kluster di seluruh negara.

''Perakuan dan cadangan ini diperoleh panel penasihat hasil daripada lawatan ke sekolah kluster, perbincangan bersama pemimpin sekolah kluster, serta lawatan ke beberapa buah negara yang melaksanakan konsep mirip sekolah kluster di negara ini.

''Perakuan dan cadangan itu boleh dijadikan panduan kepada pengetua dan gurubesar sekolah kluster serta pegawai di kementerian dalam menjayakan pelaksanaan sekolah kluster ini," katanya.

Beliau berkata, perakuan tersebut juga melibatkan beberapa aspek dan bidang utama termasuk pengurusan am kementerian, kepimpinan dan pengurusan, pengurusan sekolah, guru sekolah kluster, kurikulum, hal ehwal murid dan bidang kebitaraan (niche area).

Selain itu, katanya, ia turut membabitkan prasarana dan iklim sekolah, penglibatan ibu bapa dan masyarakat, jaringan, penaksiran dan pemantauan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, selaras dengan usaha memartabatkan profesion keguruan di negara ini, Jemaah Menteri telah meluluskan pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 bagi mengemaskinikan bidang kuasa dan keupayaan kementerian melahirkan pendidik yang berkualiti, cemerlang dan berkebolehan.

''Rang undang-undang ini akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang untuk dibahaskan.

''Antara tumpuan usaha ini adalah menaiktaraf maktab perguruan di seluruh negara kepada Institut Pendidikan Guru (IPG)," katanya.

Wednesday, June 11, 2008

Petikan akhbar, Gejala Bebalisme!!!

Perspektif Ikim: Gejala 'bebalisme' punca akal rosak - BERITA HARIAN, SELASA 10/6/2008
Oleh Azrina Sobian

Tak minat ilmu antara ciri kemalasan intelek masyarakat negara membangun

HASRAT membentuk masyarakat 'minda kelas pertama' di negara membangun seperti Malaysia tidak akan tercapai selagi cabaran terhadap akal masyarakat tidak dikenal pasti.

Kita sering bercakap mengenai pelbagai punca kemunduran sikap masyarakat dan satu persatu punca disenaraikan, tetapi permasalahan masyarakat negara membangun masih tidak dapat dikenal pasti secara jitu kerana punca sebenar terletak pada kecamukan akal masyarakat itu.



Kata-kata yang berkait langsung dengan kalimah 'akal' muncul sebanyak 49 kali dalam al-Quran dan semuanya memberi makna yang baik kepada penggunaan akal.

Pada sudut pandangan hidup Islam juga, akal mendapat satu kedudukan yang tinggi. Akal adalah satu daripada tiga cara untuk memperoleh ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, akal adalah tempat di mana ilmu berkembang.

Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Oleh itu, jika akal manusia dicacatkan, maka usaha menimba ilmu boleh terjejas dan martabat manusia boleh jatuh sehingga menjadi lebih rendah daripada haiwan.

Jatuhnya martabat manusia kini boleh tergambar dalam banyak cara. Misalnya, kisah bapa merogol anak, anak membunuh ibu bapa, kawan menipu sahabat, pecah amanah dan guru dipukul pelajar. Bukankah ini antara bukti bahawa kedudukan kebanyakan manusia kini lebih rendah daripada haiwan?

Meningkatnya rasa kehaiwanan manusia berlaku kerana kebanyakan mereka terlalu jauh daripada ilmu pengetahuan dan dengan itu jauh daripada agama. Peranan agama memandu hidup manusia, tanpa ilmu pengetahuan pula, agama tidak akan dapat difahami. Dengan itu, selamanyalah manusia hidup dalam kepincangan dunia khayalan mereka sendiri.

Berdasarkan itu, perlu difahami punca kerosakan akal sehingga menggagalkan manusia memperoleh ilmu pengetahuan. Sebenarnya ada banyak punca kepada masalah ini dan satu daripadanya apa yang dikata gejala 'bebalisme'.

Penulis memilih untuk menonjolkan gejala itu kerana gejala ia amat dekat dengan masyarakat membangun. Walaupun dikatakan ia berlaku di seluruh dunia, gejala itu sebenarnya sangat ketara di negara membangun seperti Malaysia dan rantau sekitarnya.

Istilah itu mula digunakan oleh Prof Syed Hussien Alatas dalam bukunya bertajuk Intellectuals in Developing Countries yang ditulis pada 1977. Bebalisme muncul daripada kata dasar bebal yang membawa maksud tumpul otak atau bodoh. Oleh itu, istilah bebalisme memberikan kita satu pengertian yang kasar.

Bagaimanapun, Prof Syed Hussien menolak pandangan sebegini dan menegaskan bahawa istilah bebalisme bukan bertujuan untuk merendahkan orang lain, tetapi hendaklah digunakan dalam ruang lingkup ilmiah.

Gejala bebalisme diibaratkan sebagai 'parasit dalam fikiran' masyarakat. Gejala itu menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutama dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Antara sikap terhadap ilmu yang ditunjukkan gejala bebalisme adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak berdaya cipta. Paling ketara, mereka yang terperangkap dalam gejala ini tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.

Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah 'kemalasan intelek'. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah.

Oleh itu, gejala ini menyebabkan masyarakat membangun tidak lagi berminat mendapatkan ilmu pengetahuan berguna. Jika adapun usaha mencari ilmu, ini dilakukan bukan kerana niat ingin membantu masyarakat, tetapi disebabkan oleh pangkat, nama dan sebagainya.

Paling menyedihkan apabila Prof Syed Hussien menegaskan bahawa gejala itu ditampilkan dan disambung daripada satu generasi ke generasi lain. Maka, nyatalah gejala itu sukar dihapuskan dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan serta cara terbaik untuk keluar daripada gejala yang membelenggu masyarakat.

Untuk melepaskan diri daripada belenggu ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik. Pemimpin bukan saja terdiri daripada kepimpinan negara, termasuk ibu bapa, guru, ketua kampung dan ketua jabatan.

Paling penting keinginan untuk mengubah masyarakat bukan didorong oleh sebab kebendaan, tetapi tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat yang dipimpin. Bagi Prof Syed Hussien pemimpin hendaklah menjadi seorang intelektual. Dengan kata lain, mereka hendaklah menjadi pemimpin berakal.

Dengan adanya pemimpin seperti itu maka kita berharap apa yang dinyatakan Ibn Khaldun bahawa 'tabiat rakyat pada hakikatnya adalah bayangan bagi tabiat atau amalan hidup yang dimiliki oleh pemimpin mereka' dapat dijadikan kenyataan.

INTI PATI



Akal adalah satu daripada tiga cara untuk memperoleh ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, akal adalah tempat ilmu berkembang.


Jika akal manusia dicacatkan, maka usaha menimba ilmu boleh terjejas dan martabat manusia boleh jatuh sehingga menjadi lebih rendah daripada haiwan.


Gejala 'bebalisme' adalah anatara punca akal rosak sehingga menggagalkan manusia memperoleh ilmu pengetahuan.


Gejala 'bebalisme' sebenarnya sangat ketara di negara membangun seperti Malaysia dan rantau sekitarnya.


Gejala bebalisme diibaratkan sebagai 'parasit dalam fikiran' masyarakat. Gejala itu menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutama dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.


Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah 'kemalasan intelek'. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah.


Untuk melepaskan diri daripada belenggu ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik.