Followers

Tuesday, October 7, 2014

2014 KERTAS 3 TINGKATAN 4, AKHIR TAHUN.

Pernyataan:  Tema 8: 2, Kerajaan Islam di Madinah.Bincangkan bagaimana Perlembagaan Madinah  berjaya mengekalkan perpaduan dan keamanan Kerajaan Islam pertama.

Berdasarkan pernyataan, soalan yang akan ditanya:

Soalan pertama: Maksud Piagam Madinah. Murid boleh merujuk kepada buku teks muka surat 124. Soalan pertama biasanya akan merujuk kepada maksud atau definisi.

Contoh esei yang menjelaskan maksud/definisi Piagam Madinah.
-perlembagaan bertulis pertama.
-nama lain
-asas pembentukan kerajaan Madinah.

1. Maksud piagam madinah
  Piagam Madinah merupakan piagam pertama yang ditulis secara rasmi dalam sejarah dunia.Perlembagaan yang ditulis dan dipersetujui bersama semua golongan orang Islam dan Yahudi yang menjadi warganegara Madinah Al-Munawwarah pimpinan Rasulullah SAW. Piagam madinah juga disebut sebagai Sahifah al-Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
  Piagam madinah juga menjadi asas pembentukan sebuah Negara Islam. Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quraan, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu. 


Soalan kedua.  Soalan kedua kebiasaannya berkaitan dengan faktor. Cadangan soalan: faktor perlaksanaan Piagam Madinah. Soalan yg mungkin ditanya adalah faktor perlaksanaan Piagam Madinah. Jawapan boleh dilihat di muka surat  127.


Murid boleh merujuk kepada jadual di muka surat 126 dan mengarang. (Menggunakan  bahan di muka surat 127)
Contoh esei seperti di bawah.

        Jika dihat dari sudut politik, perlaksanaan piagam bertujuan menjadikan orang Arab Madinah berada dalam keadaan tenteram. Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar juga disebut sebagai golongan penolong dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar  Muhajirin juga disebut sebagai golongan pendatang .
      Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir. Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Nabi Muhammad s.a/w dilantik sebagai pemimpin Madinah. Nabi  Muhammad juga dilantik menjadi hakim, bagi menyelesaikan masalah antara semua kaum di Madinah.
                Masyarakat Madinah bebas memeluk agama anutan masing-masing dan mengamalkan adat masing-masing asalkan tidak bercanggah dengan agama Islam.
                Masyarakat Madinah diangggap sebagai satu  ummah dan bertaggungjawab bertahankan Madinah. Masyarakat Madinah bertanggungjawab mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.
                Undang-undang Islam dipakai keseluruhannya, dan undang-undang adat dikekalkan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan Madinah.
                Dalam ekonomi, kerjasama ekonomi dituntut bagi memajukan ekonomi negara. Unsur penipuan dan riba dilarang.
                Orang Yahudi bebas menganut agama Yahudi, dan adat yang tidak bertentangan dengan Islam. Keselamatan mereka dijamin selagi mereka mematuhi Piagam Madinah.

Soalan ke 3.  Cadangan soalan: Kesan perlaksanaan kepentingan Piagam Madinah. Boleh juga merujuk kepada buku teks muka surat 128. Contoh esei cadangan.
 
Piagam Madinah penting kerana ia menjadikan Kerajaan Islam Madinah model kerajaan Islam unggul. Ianya juga mempunyai beberapa peruntukan berhubung dengan perkara-perkara seperti penerimaan Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan hakim bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
                 Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autoriti terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan hukumaan terhadap kesalahan -kesalahan di luar bidang kuasa ketua -ketua kaum berkenaan.
                 Orang-orang Islam dan bukan Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam. Contohnya orang Yahudi dan orang Islam.
                Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini. Aus dan Khazraj disatukan dengan nama Ansar, dipersaudarakan dengan orang Muhajirin.
                 Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
                Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam  secara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
                Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.
  Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam.
                Piagam ini juga memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain. Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam.Hal Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
                Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolak oleh orang-orang Yahudi.
                Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakanan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan bekerjamasa dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.


Soalan ke 4: cadangan soalan: Soalan ke 4, kebiasaannya ada kaitannya dengan Negara kita Malaysia.  Soalan berkaitan analisis di Malaysia selaras dengan pembentukan perlembagaan yang kukuh. Perlu dibahagikan kepada tiga aspek politik, ekonomi dan sosial. (setiap bahagian 10 markah)
 
 Dalam aspek politik, perlembagaan negara menjadikan kedudukan politik negara  aman, kukuh dan selamat.  Malaysia berada dalam situasi stabil tanpa campurtangan asing termasuk negara jiran. Pemerintah negara iaitu Duli Yang Teramat Mulia, Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja Melayu  berada dalam keadaan tidak tergugat dan bebas memerintah Negara mengikut acuan kita sendiri.
                Perlembagaan yang ditubuhkan berjaya meletakkan nama Malaysia sebagai negara yang aman dan tenteram. Tentera kerajaan Malaysia berjaya menjaga sempadan negara daripada dibolosi. Walaupun pernah dijajah oleh  British, Portugis, Belanda dan Jepun, sekarang, negara bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa luar, yang menjamin hak kebebasan Malaysia sepenuhnya
                Dengan kekuatan undang-undang, Malaysia bebas mengadakan hubungan dua hala dan diplomatik dengan  Negara luar yang lain.

b) ekonomi

                 Perlembagaan yang kukuh juga memastikan ekonomi negara bebas dan tidak dikawal oleh mana-mana kuasa. luar  Dengan kekuatan ini, Malaysia dapat mengadakan kerjasama perdagangan dengan mana-mana negara dalam dunia.
                Dengan kekuatan undang-undang juga boleh memastikan nilai matawang Malaysia adalah stabil. Rakyat Malaysia bebas  melabur kewangan dalam negara mahupun di luar negara kerana mata wang tambatan Malaysia adalah stabil.
                Rakyat Malaysia mampu membeli kenderaan dan rumah sendiri. Kekuatan pendapatan  negara juga meningkat kerana keadaan negara yang selamat dan terkawal.

c) sosial

                Kekuatan ekonomi dan politik yang stabil memberi impak yang besar kepada perpaduan kaum terutamanya kaum-kaum majoriti di Malaysia. Dengan kata lain, perpaduan kaum dapat dibentuk bukan sahaja antara kaum-kaum di Malaysia malah dengan rakyat asing yang berada di Malaysia seperti Indonesian, Bangladeshi dan sebagainya.
                Walaupun terdapat kes-kes jenayah,  kes jenayah di Malaysia masih dianggap terpencil dan kecil. Rakyat pelbagai keturunan masih bebas mengamalkan tradisi budaya dan kepercayaan agama masing-masing. Contohnya kaum lain menghormati perayaan sambutan Aidil Adha dan Aidil Fitri yang disambut oleh masyarakat Islam.


Soalan ke 5: cadangan soalan: Soalan ke 5, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia.  Soalan berkaitan analisis di Malaysia selaras dengan pembentukan perlembagaan yang kukuh.  Cadangan soalan, cabaran masyarakat berbilang kaum.

                Berbeza kaum di Malaysia, akan disambut dengan perbezaan ideologi politik yang sentiasa mengheret pelbagai kaum ke kancah perpecahan yang berpanjangan. Contohnya, masalah Parti Rakyat  yang dianggotai oleh Parti,Keadilan, DAP dan PAS dan masalah Parti daripada pihak Kerajaan yang dibarisi  oleh Barisan Nasional. Peperangan media yang berterusan menjadikan kedua-dua parti dalam keadaan menghentam antara satu sama lain.
                Terdapat beberapa isu sensitif  contohnya hak keistimewaan bumiputera yang tidak disenangi oleh kaum lain dan memerlukan pemahaman yang jelas. Kaum lain menganggap pemberian hak istimewa tersebut sebagai tidak adil dalam masyarakat yang dianggap ‘1 Malaysia’. Situasi ini menyebabkan terdapat pihak yang sengaja menghasut dalam mengwujudkan suasana menghentam kerajaan.
                Kepelbagaian kaum juga mengwujudkan ketidak seimbangan penguasaan ekonomi Antara kaum-kaum di Malaysia. Contohnya, kaum Cina dianggap majority terbesar dalam menguasai ekonomi negara terutamanya perniagaan. Kaum-kaum lain masih kurang terlibat dalam  perniagaan.
                Cabaran lain adalah keperluan menjaga  sensitiviti kaum lain berkaitan perayaan, adat dan warisan kebudayaan.

Soalan ke 6: cadangan soalan: Soalan ke 6, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia di peringkat dunia.  Cadangan soalan, cabaran  masalah Negara secara dalaman dan luaran.

                Cabaran yang terbesar dalam negara ini, adalah kebanjiran pendatang asing, sama ada secara sah atau haram. (Pendatang tanpa izin atau PATI)  Keadaan ekonomi yang kukuh menjadikan keperluan bagi mendapatkan pekerja adalah tinggi. Kemasukan pekerja dari Indonesia, Myammar dan sebagainya membawa bersama gejala sosial seperti jenayah terancang.
                Cabaran yang lain adalah dalam menuju Wawasan 2020 yang hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi, negara ternyata masih ketinggalan dalam mencapai hasrat mengwujudkan masyarakat yang saintifik dan progesif serta masyarakat yang bermoral dan beretika. Keruntuhan moral  ekoran pengaruh luar seperti pakaian yang mencolok mata dari Barat memberi impak yang besar terhadap perkembangan masyarakat Malaysia.
Soalan ke 7: cadangan soalan: Soalan ke 6, kebiasaannya ada kaitannya dengan negara kita Malaysia di peringkat dunia.  Cadangan soalan, cara menghadapi  masalah negara secara dalaman dan luaran.

                Kerajaan telah memperkukuhkan  cara mengesan cara kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mengetatkan pegawasan   pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI.
                Kerajaaan  dengan kerjasama pihak swasta mestilah meluaskan inisiatif agar masyarakat Malaysia  berminat untuk meneroka peluang-peluang baru dalam penggunaan teknologi. Program-program pembangunan dan penyelidikan (R & D) perlulah diperluaskan. R& D dipercayai akan melahirkan masyrakat celik ilmu dan seterusnya melahirkan masyarakat dari kelas bermindakan kelas pertama.
                Pembentukan k-masyarakat yang bermodalkan dan berteraskan ilmu pengetahuan akan dapat mengelakkan masyarakat Malaysia daripada terikut-ikut rentak budaya Barat yang tidak membawa kebaikan dalam masyarakat.

Soalan ke 8: cadangan soalan: Soalan ke 8, kebiasaannya ada kaitannya dengan nilai-nilai yang mesti dipraktikkan bagi menghadaoi cabaran. Murid boleh menggunakan pelbagai nilai yang berkaitan.

Contoh nilai – kesan penggunaan atau pengamalan nilai. 5 nilai mencukupi.

·         Berusaha
·         Bersyukur
·         Bersatu padu
·         Taat pada pemerintah
·         Berani mencuba
·         Memanfaatkan kurniaan Allah
·         Tidak putus asa
·         Berani menghadapi cabaran
·         Berdaya saing
·         Berwawasan
·         Bersifat kreatif
·         Sedia menerima perubahan
·         Kepentingan ilmu pegetahuan
·         Bersifat proaktif
·         Mengekalkan keamanan

Rakyat Malaysia mestilah berwawasan supaya meningkatkan ekonomi dan nama baik negara. Rakyat mestilah taat kepada pemerintah supaya kerajaan boleh menumpukan perhatian kepada kemajuan Negara. Rakyat Malaysia mestilah berani mencuba, tidak berputus asa dan berani menghadapi saingan dari luar.


  • Soalan ke 9: cadangan soalan: jawapan mestilah merujuk kepada tiga elemen di bawah. Pastikan anda menggunakan tiga elemen ini. Contoh esei.

·         Pengetahuan yang diperolehi
·         Iktibar kepada diri, bangsa dan Negara
·         Harapan untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang

Dengan mengkaji tajuk ini, saya mendapat pengetahuan mengenai factor pembentukan Perlembagaan Madinah dan kepentingan undang-undang ini dalam melahirkan Kerajaan dan kekuatan Islam pertama di dunia. Kekuatan undang-undang ini sepatutnya digunakan oleh kerajaan Malaysia bagi membentuk masyarakat pelbilang kaum.
Iktibar kepada diri saya adalah, saya mestilah sentiasa potitif  agar sentiasa memajukan diri. Bangsa dan negara yang berbeza mestilah menghormati agama, budaya dan warisan kaum lain yang berbeza seperti masyarakat Madinah yang berbilang kaum.
Harapan saya Negara kita akan terus gemilang terbilang dalam penghasilan situasi politik yang aman dan tenteram, keadaan ekonomi yang meningkat dan suasana sosial yang harmoni Antara kaum di Malaysia dan masyarakat luar yang datang bekerja di Malaysia.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum Cikgu,saya ni pelajar ting 4.Terima kasih sebab menolong saya untuk menjawab kertas 3 Sejarah.