Followers

Wednesday, June 11, 2008

Petikan akhbar, Gejala Bebalisme!!!

Perspektif Ikim: Gejala 'bebalisme' punca akal rosak - BERITA HARIAN, SELASA 10/6/2008
Oleh Azrina Sobian

Tak minat ilmu antara ciri kemalasan intelek masyarakat negara membangun

HASRAT membentuk masyarakat 'minda kelas pertama' di negara membangun seperti Malaysia tidak akan tercapai selagi cabaran terhadap akal masyarakat tidak dikenal pasti.

Kita sering bercakap mengenai pelbagai punca kemunduran sikap masyarakat dan satu persatu punca disenaraikan, tetapi permasalahan masyarakat negara membangun masih tidak dapat dikenal pasti secara jitu kerana punca sebenar terletak pada kecamukan akal masyarakat itu.



Kata-kata yang berkait langsung dengan kalimah 'akal' muncul sebanyak 49 kali dalam al-Quran dan semuanya memberi makna yang baik kepada penggunaan akal.

Pada sudut pandangan hidup Islam juga, akal mendapat satu kedudukan yang tinggi. Akal adalah satu daripada tiga cara untuk memperoleh ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, akal adalah tempat di mana ilmu berkembang.

Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Oleh itu, jika akal manusia dicacatkan, maka usaha menimba ilmu boleh terjejas dan martabat manusia boleh jatuh sehingga menjadi lebih rendah daripada haiwan.

Jatuhnya martabat manusia kini boleh tergambar dalam banyak cara. Misalnya, kisah bapa merogol anak, anak membunuh ibu bapa, kawan menipu sahabat, pecah amanah dan guru dipukul pelajar. Bukankah ini antara bukti bahawa kedudukan kebanyakan manusia kini lebih rendah daripada haiwan?

Meningkatnya rasa kehaiwanan manusia berlaku kerana kebanyakan mereka terlalu jauh daripada ilmu pengetahuan dan dengan itu jauh daripada agama. Peranan agama memandu hidup manusia, tanpa ilmu pengetahuan pula, agama tidak akan dapat difahami. Dengan itu, selamanyalah manusia hidup dalam kepincangan dunia khayalan mereka sendiri.

Berdasarkan itu, perlu difahami punca kerosakan akal sehingga menggagalkan manusia memperoleh ilmu pengetahuan. Sebenarnya ada banyak punca kepada masalah ini dan satu daripadanya apa yang dikata gejala 'bebalisme'.

Penulis memilih untuk menonjolkan gejala itu kerana gejala ia amat dekat dengan masyarakat membangun. Walaupun dikatakan ia berlaku di seluruh dunia, gejala itu sebenarnya sangat ketara di negara membangun seperti Malaysia dan rantau sekitarnya.

Istilah itu mula digunakan oleh Prof Syed Hussien Alatas dalam bukunya bertajuk Intellectuals in Developing Countries yang ditulis pada 1977. Bebalisme muncul daripada kata dasar bebal yang membawa maksud tumpul otak atau bodoh. Oleh itu, istilah bebalisme memberikan kita satu pengertian yang kasar.

Bagaimanapun, Prof Syed Hussien menolak pandangan sebegini dan menegaskan bahawa istilah bebalisme bukan bertujuan untuk merendahkan orang lain, tetapi hendaklah digunakan dalam ruang lingkup ilmiah.

Gejala bebalisme diibaratkan sebagai 'parasit dalam fikiran' masyarakat. Gejala itu menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutama dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Antara sikap terhadap ilmu yang ditunjukkan gejala bebalisme adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak berdaya cipta. Paling ketara, mereka yang terperangkap dalam gejala ini tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.

Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah 'kemalasan intelek'. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah.

Oleh itu, gejala ini menyebabkan masyarakat membangun tidak lagi berminat mendapatkan ilmu pengetahuan berguna. Jika adapun usaha mencari ilmu, ini dilakukan bukan kerana niat ingin membantu masyarakat, tetapi disebabkan oleh pangkat, nama dan sebagainya.

Paling menyedihkan apabila Prof Syed Hussien menegaskan bahawa gejala itu ditampilkan dan disambung daripada satu generasi ke generasi lain. Maka, nyatalah gejala itu sukar dihapuskan dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan serta cara terbaik untuk keluar daripada gejala yang membelenggu masyarakat.

Untuk melepaskan diri daripada belenggu ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik. Pemimpin bukan saja terdiri daripada kepimpinan negara, termasuk ibu bapa, guru, ketua kampung dan ketua jabatan.

Paling penting keinginan untuk mengubah masyarakat bukan didorong oleh sebab kebendaan, tetapi tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat yang dipimpin. Bagi Prof Syed Hussien pemimpin hendaklah menjadi seorang intelektual. Dengan kata lain, mereka hendaklah menjadi pemimpin berakal.

Dengan adanya pemimpin seperti itu maka kita berharap apa yang dinyatakan Ibn Khaldun bahawa 'tabiat rakyat pada hakikatnya adalah bayangan bagi tabiat atau amalan hidup yang dimiliki oleh pemimpin mereka' dapat dijadikan kenyataan.

INTI PATI



Akal adalah satu daripada tiga cara untuk memperoleh ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, akal adalah tempat ilmu berkembang.


Jika akal manusia dicacatkan, maka usaha menimba ilmu boleh terjejas dan martabat manusia boleh jatuh sehingga menjadi lebih rendah daripada haiwan.


Gejala 'bebalisme' adalah anatara punca akal rosak sehingga menggagalkan manusia memperoleh ilmu pengetahuan.


Gejala 'bebalisme' sebenarnya sangat ketara di negara membangun seperti Malaysia dan rantau sekitarnya.


Gejala bebalisme diibaratkan sebagai 'parasit dalam fikiran' masyarakat. Gejala itu menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutama dari segi keinginan dan kemampuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.


Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah 'kemalasan intelek'. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah.


Untuk melepaskan diri daripada belenggu ini, masyarakat memerlukan satu atau sekumpulan pemimpin secara ikhlas ingin mengubah masyarakat ke arah yang baik.

No comments: