Untuk gambar, lihat slaid show, Rom, Cina, Mesir...
CIRI-CIRI TAMADUN MESIR
Latar Belakang
Mengikut Herodotus, negeri Mesir ialah anugerah dari Sungai Nil. Sungai ini mengalir di kawasan tandus yang berbatu-bata membawa bersama-samanya lumpur-lumpur yang mendak di tebingnya. Kejadian banjir telah menyuburkan kedua-dua tebing sungai. Selain itu, Sungai Nil telah membekalkan air untuk tanaman yang ditanam dan bekalan makanan laut serta menjadi alat pengangkutan bagi penduduk. Adalah dipercayai orang Mesir datang ke kawasan Sungai Nil dari Timur melalui Aden pada kira-kira 5000 SM. Apabila mereka mendapati delta Sungai Nil ini sangat subur, mereka mula membentuk perkampungan di sini. Adalah dipercayai juga, kewujudan kerajaan di Lembah Nil ini bermula sebelum tahun 3100 SM.
Ciri-ciri
Pembentukan Bandar
Dipercayai orang Mesir datang ke kawasan Sungai Nil pada kira-kira 5000 SM. Orang ini bergerak merata-rata di kawasan ini pada permulaan. Apabila mereka sedar betapa suburnya delta di sebelah Utara Sungai Nil, mereka pun menetap di sini. Di sini, mereka menjalankan aktiviti pertanian. Suatu perkampungan kecil dibentuk. Perkampungan ini kemudian mengalami urbanisasi dan membentuk negara kota yang mempunyai ramai penduduk, merupakan pusat perdagangan dan sebagainya. Memphis dan Thebes merupakan contoh negara kota yang terkenal di Tamadun Mesir ini.
Pembentukan Kerajaan
Di sepanjang zaman lampau ini, perkelahian sering berlaku di antara penduduk yang tinggal di sepanjang Lembah Sungai Nil. Setelah mereka menjadi lebih mahir membuat senjata, mereka ini dapat mengatasi jiran-jiran mereka. Apabila satu-satu puak berjaya mengatasi puak lain, puak-puak yang dikalahkan itu akan dipaksa mengiktiraf totem (simbol) puak pemenang itu sebagai tuhan yang maha berkuasa. Lebih kurang dalam 4300 SM, dua puak telah menghapus puak-puak yang lain dan masing-masing membentuk kerajaan di sebelah Utara dan Selatan Lembah Nil. Lama-kelamaan, Kerajaan Hulu dan Hilir bercantum menjadi satu dan diperintah oleh seorang raja.
Wujudnya Organisasi Sosial
Kedudukan sosial seseorang individu dalam organisasi sosial Tamadun Mesir tidak berubah beribu-ribu tahun lamanya. Firaun atau Pharoah dianggap sebagai anak tuhan matahari Amon-Re. Baginda mempunyai kedudukan yang tertinggi. Selepas Firaun, golongan pemerintah yang terdiri daripada pendeta dan bangsawan menduduki tempat kedua. Mereka berkuasa sebagai pentadbir di negara kota. Seterusnya, peniaga, artisan dan tabib menduduki tempat yang ketiga. Mereka merupakan kelas pertengahan yang mempunyai bilangan yang amat terhad. Selepas kelas pertengahan ialah golongan petani yang hidup secara sederhana. Hamba berada di tempat yang paling bawah yang terdiri daripada orang tawanan perang. Mereka hidup dengan amat menderita. Golongan wanita juga mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat Mesir sekiranya dia melahirkan banyak orang anak.
Perkembangan Teknologi
Sumbangan orang Mesir yang amat penting ialah dalam bidang astronomi, takwim (kalendar) dan matematik. Bidang astronomi maju kerana para pendeta dapat mengkaji bumi, langit, peredaran bulan, bintang dan planet-planet lain. Ahli kaji bintang melahirkan takwim yang mempunyai 12 bulan dengan setiap bulan mengandungi 30 hari dan 5 hari lagi ditambah kepada bulan terakhir atau 365 hari setahun. 12 bulan ini kemudian dibahagikan kepada 3 musim iaitu musim banjir, menanam dan menuai. Mereka juga mencipta jam yang menggunakan bayangan matahari dan air. Dalam bidang matematik, orang Mesir mengetahui cara mengukur keluasan empat segi tepat, bulatan, menghitung isipadu dan silinder. Pengetahuan ini membolehkan mereka mengukur blok batu yang digunakan untuk membina piramid. Dalam bidang kejuruteraan, kebolehan mereka dapat dilihat melalui pembinaan piramid. Alat-alat mudah seperti pahat, tembaga, baji dan tukul batu digunakan. Dalam bidang perubatan, mereka mempelajari teknik-teknik mengawet mayat dan fungsi tubuh manusia. Mereka juga menghasilkan sebuah buku perubatan mengenai pembedahan.
Pengkhususan Kerja
Kewujudan organisasi sosial telah mewujudkan pengkhususan kerja bagi setiap lapisan masyarakat. Firaun bertugas memerintah negara Mesir dan berkuasa mutlak serta mempunyai kuasa penuh ke atas tanah air di Mesir. Baginda memerintah dengan dasar kuku besi. Dasar kuku besi bermaksud rakyat dipaksa patuh kepada Firaun dan rakyat dipaksa membayar cukai. Golongan pendeta bertanggungjawab menjalankan upacara untuk mententeramkan tuhan mereka. Golongan bangsawan pula menjadi gabenor daerah, pegawai istana atau pemungut cukai. Kelas pertengahan pula menjadi peniaga, tabib ataupun artisan. Golongan petani bertugas untuk menanam tanaman seperti gandum dan barli. Mereka dikehendaki menyerahkan 2/3 daripada hasil tanaman kepada kerajaan sebagai cukai. Hamba pula bekerja sebagai petani atau bekerja di kuil atau di projek pengairan.
Wujudnya Kepercayaan
Agama dan kepercayaan memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Mesir. Masyarakat di Mesir percaya bahawa alam semesta dikuasai oleh tuhan atau dewa-dewi yang menentukan hidup atau mati segala-gala benda dalam alam semesta. Mereka memuja semangat tanaman dan binatang seperti kucing untuk mendapatkan kebahagiaan kepada mereka. Tuhan yang disembah oleh orang Mesir termasuk Amon-Re (matahari), Osiris (Sungai Nil), Isis (Bulan), Nut (langit), dan Shu (udara). Orang Mesir juga percaya kepada kehidupan selepas mati. Mereka percaya orang yang mati akan hidup dengan penuh kebahagiaan di akhirat, maka roh mesti dibekalkan dengan segala keperluan dan barang kemas. Mereka memumiakan mayat dan mayat itu disemadikan bersama-sama dengan segala keperluan dan barang kemas. Dalam proses memumiakan mayat, mayat disumbat dengan garam dan kemudiannya dibalut dengan kain. Golongan pemerintah pula membina piramid untuk menyimpan mumia dan dijadikan sebagai tempat roh bersemadi. Piramid juga digunakan untuk menyimpan harta Firaun yang mati. Piramid yang terkenal ialah Piramid Agung yang dibina di Giza untuk Firaun Khufu.
Wujudnya Bahasa dan Tulisan
Pada tamadun awal Mesir, tulisan digunakan untuk menyimpan rekod tentang upacara keagamaan dan harta yang ada di kuil-kuil. Bentuk tulisan yang dicipta oleh para pendeta ini dikenali sebagai hieroglif. Tulisan hieroglif berbentuk gambar dan diukir pada batu atau kayu. Setelah membuat kertas daripada pokok papyrus, orang Mesir menulis dengan menggunakan dakwat dan berus.
No comments:
Post a Comment