Followers

Tuesday, May 13, 2008

Pemimpin Kita 3: Tun Abdul Razak Hussein




Tun Abdul Razak Hussein

Abdul Razak bin Hussein dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pekan, Pahang, dan telah dibesarkan oleh datuknya dalam keluarga yang memelihara tradisi, adat resam dan agama. Abdul Razak membesar sebagai seorang kanak-kanak yang sering disebut sebagai contoh di kampungnya – taat kepada orang tua, cerdas dan bersopan-santun.Abdul Razak mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu di Kampung Langgar di Pekan, Pahang pada zaman awal pemerintahan British. Dia bukan seorang pelajar miskin – ayahnya ialah Datuk Hussein, salah seorang pembesar wilayah di negeri Pahang – namun dia pergi ke sekolah berkaki ayam, semata-mata kerana perasaan hormat kepada rakan-rakannya yang rata-rata datang dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli kasut sekolah.

Begitulah awalnya kesedaran yang tertanam pada diri Abdul Razak tentang kepayahan hidup orang Melayu luar bandar ketika itu. Pada 1934 Abdul Razak melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, di mana dia terus menunjukkan kecemerlangannya; bukan sahaja di bidang akademik tetapi juga di padang bola, hoki dan kriket, juga dalam kepimpinan pelajar.

Tamat pengajian menengah, Abdul Razak memasuki Kolej Raffles di Singapura, tetapi pengajiannya terbantut bila Perang Dunia Kedua meletus. Dua tahun selepas perang berakhir, pada 1947 Abdul Razak mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England.

Semasa di England, Abdul Razak mula aktif dalam politik. Pada masa itu, bakal Perdana Menteri Tanah Melayu , Tunku Abdul Rahman, juga sedang mengambil jurusan undang-undang di tempat yang sama. Tunku pada waktu itu adalah Yang Dipertua Persatuan Melayu Great Britain manakala Abdul Razak adalah setiausahanya. Abdul Razak juga telah menubuhkan Forum Tanah Melayu, yang merupakan wadah untuk pelajar-pelajar dari Tanah Melayu berdiskusi tentang isu-isu tanah air. Pada 1950 Abdul Razak menerima ijazah undang-undang dari Lincoln's Inn. Sekembali ke tanah air, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam. Pada tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Pada tahun berikutnya, Abdul Razak dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno, ketika usianya 29 tahun. Sebagai sahabat kepada Tunku Abdul Rahman sejak zaman pengajian di London, Abdul Razak cepat dapat meletakkan dirinya sebagai orang nombor dua Umno dalam melaksanakan pelan pembangunan untuk Tanah Melayu.

Pada 1953 Abdul Razak telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dan dua tahun berikutnya pada usia 34, Abdul Razak menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada 1955, Datuk Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman. Pada tahun berikutnya Abdul Razak berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain.

Tidak sampai 18 bulan selepas Kemerdekaan dicapai, Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar. Abdul Razak menjalankan kedua-kedua tugas dengan penuh tanggungjawab dan tenaga yang tidak mengenal erti gagal. Malah, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Luar Bandar, Abdul Razak terus bangkit bertindak, merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan melalui siri rancangan lima-tahun. Sepanjang sepuluh tahun Abdul Razak memegang portfolio itu, beliau telah menjelajah sejauh tidak kurang 60,000 batu setahun ke setiap daerah di seluruh negara. Beliau telah mempamerkan iltizam yang tinggi dalam memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar.

Rancangan Buku Merah dan Bilik Gerakan yang dipelopori Abdul Razak mencatit setiap butir perkembangan projek di setiap daerah – rintangan, kegagalan, kemajuan dan kejayaannya. Pada awal 1960an ternyata para petani dan nelayan di seluruh negara mula menikmati hasil usaha mereka, suatu yang amat jarang berlaku sebelum itu.Tentunya, Abdul Razak bukan sahaja menumpukan usahanya kepada pembangunan luar bandar semata-mata. Selain mengusahakan penubuhan Felda, Felcra, Risda dan badan-badan lain yang bersangkutan pembangunan luar bandar, Abdul Razak juga mengusulkan penubuhan institusi-institusi lain seperti Bank Bumiputera, Mara, ITM, Universiti Kebangsaan, Perbadanan Nasional Berhad, Petronas dan Perbadanan kemajuan Ekonomi di setiap negeri.

Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Abdul Razak membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan. Dengan dasar yang berpandangan jauh ini, keharmonian kaum telah dapat disemaikan di peringkat kanak-kanak. Dikira dari hari pertama Abdul Razak memikul tugas sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membina sejumlah 3,000 buah sekolah, manakala tiga juta orang dewasa yang buta huruf telah dapat membaca dan menulis. Selepas pilihan raya tahun 1969, satu perselisihan kaum telah tercetus di Kuala Lumpur, ditiupkan pula oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai pengarahnya. Abdul Razak mengepalai MAGERAN selama 21 bulan. Di bawah pengurusan bijaksana Abdul Razak, ketenteraman dapat dipulihkan dan kedua-dua pihak bertelagah dapat berbaik semula dan bekerja bersama seperti sebelumnya. Pada September 1970, Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan. Tun Abdul Razak menyambung usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Tunku, mengisi Kemerdekaan yang baru dicapai dengan pelbagai projek pembangunan ekonomi dan sosial.

Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1970 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Jika disenaraikan satu-persatu sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara, pastinya ia akan menjadi buku yang tebal, namun di antara pemberiannya yang paling berharga ialah pengwujudan Dasar Kebudayaan Nasional, yang telah menyediakan asas penting bagi pembentukan satu budaya Malaysia yang unik dan menggabungkan ciri-ciri semua kaum serta kesucian agama; dan pengenalan Rukunegara sebagai ideologi nasional yang menggariskan hasrat serta ikrar rakyat Malaysia ke arah mencipta masyarakat Malaysia yang saksama, progresif, liberal dan bertatasusila.

Di sebalik perwatakannya yang pendiam dan lemah lembut, Tun Abdul Razak sebenarnya adalah seorang wira berani yang sanggup mengharungi seribu rintangan dalam memajukan dan membela nasib rakyat. Bertepatanlah bila beliau dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Untuk kestabilan serantau, Abdul Razak mengusulkan pengwujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi Asia Tenggara. Beliau juga telah merintis jalan bagi menjalin hubungan yang lebuh baik dengan Republik Rakyat China. Dua tahun selepas menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak membuat keputusan untuk menjemput Dr Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno. Natijah dari keputusan ini telah mencipta beberapa dekad yang paling bermakna dalam sejarah Malaysia.

Tun Abdul Razak meninggal dunia akibat leukemia di London pada Januari 1976. Pemergiannya yang tiba-tiba ketika rakyat sedang menikmati pembangunan, telah menggoncang seluruh negara. Tun Abdul Razak tidak sempat melihat hasil terbaik usaha-usahanya, tetapi batu asas pembangunan yang telah diletakkannya untuk Malaysia telah membuka ruang untuk negara meneruskan pembangunan yang lebih pesat seperti yang dinikmati hingga hari ini.

No comments: