Followers

Tuesday, May 13, 2008

Pasukan Home Guard ,Bab 3:PMR -Rancangan Briggs

Majlis Pengisahan Sejarah
PASUKAN HOME GUARD


Pengerusi Sesi : Prof. Dr. Nik Anuar bin Nik Mahmud

Tokoh pengisahan : (i) Encik Ishak bin Mohd Yusof
(ii) Tuan Haji Parlan @ Abdul Aziz bin Suwinono
(iii) Tuan Haji Rohani bin Haji Taib
(iv) Encik Dalip Singh a/l Bela Singh

Pendahuluan

Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mempertingkatkan aktiviti mereka bagi menuntut hak kuasa pemerintahan. Pemberontakan bersenjata terhadap pemerintahan kerajaan British telah dilakukan. Kekejaman komunis tanpa mengira mangsa menyebabkan kerajaan British mengisytiharkan Ordinan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 19 Jun 1948.

Walaupun Darurat diisytiharkan, namun komunis masih terus berleluasa dan ini memerlukan pasukan keselamatan yang ramai. Oleh itu, pentadbir British merombak pasukan polis sukarela dan mewujudkan Pasukan Home Guard pada Jun 1948 dan diletakkan di bawah kuasa Emergency (Home Guard) Relations 1951. Pada peringkat awal, pasukan ini adalah di bawah tanggungjawab pasukan polis dan ditubuhkan secara khidmat sambilan bagi menjaga kampung dan kawasan ladang atau estet. Pasukan ini ditubuhkan pada peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung. Anggotanya diberi surat kuasa, latihan kawad dan cara-cara mengendalikan senjata. Semasa bertugas anggota pasukan ini memakai lilitan kain bertanda 'HG' di bahagian kiri lengan baju dan membawa surat kuasa. Pasukan ini dianggotai oleh orang Melayu, Cina, India, Eropah dan Orang Asli serta kaum wanita berumur di antara 18 hingga 55 tahun. Walau bagaimanapun, terdapat ahli pasukan Home Guard menjadi tali barut komunis. Mereka juga tidak dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan. Ini ditambah pula dengan bilangan mereka yang kecil berbanding anggota pasukan komunis.

Penubuhan Pasukan Home Guard ini telah dirintis oleh Dato' Onn Jaafar. Menteri Besar Johor dengan mengambil inisiatif sendiri untuk mematahkan serangan pengganas Bintang 3 dengan menubuhkan Kampong Guard sebaik sahaja Jepun menyerah kalah. Bagi mencapai objektif ini, beliau mendapat bantuan daripada anaknya, Hussein untuk menguruskan Kampong Guard tersebut dan dibantu oleh Ibrahim Ismail (kemudiannya menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia).



Perkembangan Pasukan Home Guard

Pada tahun 1948 terdapat kira-kira 40,000 orang anggota Home Guard tetapi bilangan ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pada penghujung tahun 1949, bilangannya adalah 47,000 anggota. Pada September 1950, General Harold Briggs memperbesarkan pasukan ini di bawah Rancangan Kampung Baru bagi menjaga kampung tersebut. Pasukan ini diletakkan di bawah Jabatan Pertahanan Awam Persekutuan.

Bagi membolehkan orang awam melibatkan diri secara sukarela dalam kegiatan melawan komunis, Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengadakan 'Kempen Bulan Rakyat Melawan Pengganas'. Melalui kempen ini orang awam digalakkan menjadi sukarelawan atau anggota Pasukan Home Guard. Kempen ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai kerana kekejaman dan keganasan komunis tidak mengira mangsa khasnya dalam dua tragedi iaitu tragedi pembakaran Pekan Simpang Tiga di Setiawan, Perak pada 4 Februari 1950 yang melibatkan 1,000 orang kehilangan tempat tinggal dan tragedi Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor telah diserang dan dibakar pada 23 Februari 1950. Kejadian ini mengakibatkan sebahagian besar anggota polis biasa dan polis bantuan terkorban.

Dalam bulan Disember 1951, penyusunan semula telah dilakukan oleh Leyttelton. Pasukan Home Guard diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan. Pesara tentera British, General E.B. de Fonblanque telah ditugaskan untuk melatih 42,000 anggota baru dengan bantuan pegawai-pegawai Komanwel. Hasil penyusunan semula ini, anggota pasukan Home Guard terus meningkat dari masa ke semasa. Pada bulan Julai 1951 terdapat kira-kira 79,000 anggota; 99,000 orang pada akhir tahun tersebut dan pernah mencapai 250,000 pada bulan Jun 1953. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas 72 Kampung Baru yang diwujudkan pada masa tersebut.



Tugas dan tanggungjawab pasukan Home Guard

Secara umumnya tugas yang dijalankan oleh Pasukan Home Guard ialah mengawal kampung-kampung lama atau kawasan pengumpulan dan penempatan semula termasuk Kampung Baru. Mereka juga ditugaskan untuk mengawal kawasan strategik seperti tempat simpanan senjata api, kawasan perlombongan dan estet. Anggota pasukan ini juga membantu polis mengadakan sekatan jalan raya dan memeriksa kad pengenalan penduduk serta menjalankan operasi penapisan di tempat-tempat awam seluruh negara agar segala keperluan asas seperti bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan peralatan senjata tidak sampai ke tangan komunis.

Pasukan Home Guard terdiri daripada dua pasukan iaitu static dan operational. Dalam tahun 1956 terdapat 450 operational section yang berfungsi sebagaimana pasukan tentera tetap. Pasukan ini juga menjalankan rondaan dalam hutan. Oleh itu, tidak hairanlah jika pada tahun 1953 pasukan ini dilengkapi dengan kereta perisai bagi memperkukuhkan barisan anggotanya. Sehingga tahun 1954, sejumlah 89,000 senjata telah diberikan kepada pasukan ini.

Bagi kawasan kampung lama, Pasukan Home Guard ditugaskan mengawal kampung terutamanya pada waktu malam secara bergilir-gilir. Di kawasan kampung yang mempunyai bilangan keluarga yang kurang daripada 30 buah rumah Pasukan Home Guard adalah terdiri daripada penduduk kampung itu sendiri dan menjalankan tugas dalam kumpulan tidak melebihi 10 orang pada setiap malam. Setiap 2 orang daripada mereka diberikan selaras senapang oleh pihak berkuasa. Manakala bagi kampung-kampung yang besar, setiap malam seramai 15 orang atau lebih anggota bertugas dan setiap 3 orang daripada mereka diberikan selaras senapang.

Manakala bagi kawasan Kampung Baru, anggota Pasukan Home Guard adalah terdiri daripada petugas sepenuh masa. Mereka membantu pasukan keselamatan, polis dan SC (Special Constable) memeriksa kad pengenalan dan bekalan makanan yang dibawa oleh penduduk yang keluar masuk ke kawasan Kampung Baru tersebut. Pada peringkat awal mereka tidak dibekalkan dengan senjata. Mereka hanya ditugaskan untuk mengawal kawasan yang berpagar dengan kawat duri daripada didatangi orang yang disyaki, terutamanya ejen komunis. Seteah mereka benar-benar didapati jujur dan boleh dipercayai barulah merea dilengkapi dengan senjata api.

Operational section terdiri daripada anggota Pasukan Home Guard yang mendaftar untuk memasuki unit tersebut. Pemilihan adalah berdasarkan kecekapan dan rekod baik yang dicapai mereka. Mereka dipilih diantara lima hingga sepuluh orang daripada Pasukan Home Guard dari sesebuah kampung. Sebahagian daripada mereka berumur kurang daripada 30 tahun. Mereka diberi latihan ala tentera yang lebih intensif di kampung-kampung atau kawasan yang sentiasa diancam komunis. Ini kerana khidmat mereka diperlukan bagi membantu polis dan SC melancarkan operasi memburu pengganas komunis di hutan. Semasa menjalankan operasi, mereka memakai pakaian seragam hijau seperti yang dipakai oleh anggota keselamatan SC. Mereka diberikan elaun harian setiap kali melancarkan operasi bergantung kepada pangkat dantanggungjawab yang dipikul.

Pasukan Home Guard ini telah menjadi sayap kanan kepada pasukan tentera tetap dalam usaha mengekalkan kekuasaan dari terjatuh ke tangan komunis. Pada penghujung tahun 1957, pasukan ini dikerah bersama-sama 10,000 orang tentera tetap bagi menjalankan operasi pembersihan anasir subversif secara besar-besaran. Kejayaan menghapuskan sebahagian besar anggota komunis daripada sejumlah 12,000 orang pada tahun 1948 kepada 600 orang sahaja pada tahun 1960 merupakan sumbangan tersebar pasukan ini.

Pentadbiran dan pengurusan kanan dijalankan oleh pegawai-pegawai tinggi British. Jawatan Inspector General dan Pegawai Kanan atau Full Time Home Guard Professional Staff yang bekerja sepenuh masa adalah pegawai tetap berbangsa Inggeris. Mereka juga merupakan penggubal polisi pasukan tersebut. Setelah rancangan Malayanization Scheme diperkenalkan pada tahun 1955, barulah jawatan-jawatan kanan dalam pasukan ini berpindah tangan kepada penduduk tempatan secara beransur-ansur.



Kesimpulan

Setelah Darurat tamat pada tahun 1958 (sepenuhnya pada tahun 1960), Pasukan Home Guard telah dibubarkan. Namun, ramai di kalangan mereka masih meneruskan aktiviti mereka dalam perkhidmatan sukarela.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerajaan sedar tentang kepentingan penglibatan rakyat dalam menjaga keamanan negara. Kerajaan berpendapat amat perlu semangat berkhidmat secara sukarela dihidupkan dan dikekalkan. Justeru, pada tahun 1958, kerajaan mengambil keputusan untuk menyusun semula semua pasukan sukarela dan menubuhkan Askar Wataniah pada 1 Jun 1958. Jabatanarah Askar Wataniah diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan Ketua Turus Tentera Darat. Ramai anggota Pasukan Home Guard dan lain-lain pasukan sukarela menyertai Askar Wataniah.

Sesungguhnya, jasa dan sumbangn anggota pasukan sukarela amatlah besar bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara. Pengorbanan yang mereka lakukan telah menyumbang kepada keamanan negara dan jesejahteraan rakyat.



Sumber Rujukan

Zulkornain bin Yusof. Peranan dan Perkembangan Pasukan Simpanan Tentera Darat Dalam Membantu Pasukan Tetap: Tentera Malaysia. Latihan Ilmiah. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1982/83.

Osman Mamat. Darurat Di Terengganu 1948-1960: Beberapa Aspek Sosial dan Ekonomi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1981.

Dr. Ho Hui Ling. Darurat Di Tanah Melayu, 1948-1960: Satu Tinjauan Umum. Kertas Kerja Kolokium Sejarah Darurat, 1948-1960. Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.2005.

Lt. Col. (R) Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows. The Malayan Emergency Revisited 1948-1960: A Pictorial History. AMR Holding Sdn. Bhd., Kuala Lumpur & Yayasan Pelajaran Islam, Petaling Jaya, Selangor.

No comments: