Kaum Ibu dan kemerdekaan
Oleh SITI ZALEHA JORIMAI
MENGIMBAS sumbangan dan kejayaan golongan wanita sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan negara, terlalu banyak kisah yang ingin diceritakan dan nama-nama tokoh yang mahu disebut.
Apapun, peranan kaum Hawa dalam menjadikan Malaysia seperti hari ini merupakan satu fakta sejarah yang tidak boleh dipadam begitu saja, malah ia telah bermula seawal sebelum zaman kemerdekaan lagi.
Memang secara hakikinya, perjuangan politik ketika era Tanah Melayu dalam proses mencapai kemerdekaan didahului oleh lelaki, namun di sebalik tabir tersebut ada pembabitan wanita secara senyap.
Bahkan ketika zaman pendudukan Jepun (1941-1945) apabila ramai lelaki sama ada bapa suami, abang dan anak lelaki mati atau hilang dalam perang, kaum Hawa dengan tabah dan tanpa mengenal erti putus asa mengambil-alih tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.
Mereka keluar berkerja di bendang dan ladang-ladang getah, sekali gus memecah kebiasaan zaman tersebut di mana masyarakat masih meletakkan tempat wanita ‘di ceruk dapur’
Seawal 1945 golongan wanita telah keluar daripada lingkungan tradisi untuk memperjuangkan hak mereka dengan membentuk pertubuhan dengan menggelar diri mereka sebagai kumpulan Kaum Ibu yang diketuai oleh Cikgu Balkis Abdullah.
Pada 1949, parti politik orang Melayu terbesar waktu itu Umno percaya kehadiran wanita dalam arena politik negara itu akan memberi peluang lebih baik kepada golongan itu di samping mengukuhkan lagi parti.
Ini membawa kepada pembentukan Pergerakan Kaum Ibu Umno pada 25 Ogos tahun berkenaan. Dari situ muncul nama-nama seperti Puan Sri Puteh Mariah Ibrahim Rashid, Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain), Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani, sebagai sebahagian pemimpin wanita yang tidak jemu-jemu berusaha membawa perubahan kepada wanita Melayu.
Ini termasuk mengadakan kelas dewasa bagi memerangi buta huruf, kelas kemahiran seperti jahitan dan peluang-peluang perniagaan secara kecil-kecilan. Pada 1971 nama Pertubuhan Kaum Ibu ditukar kepada Wanita Umno.
Nama Ibu Zain sememangnya begitu dekat dengan wanita Melayu khususnya di luar bandar. Beliau dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Kampung Nyalas, Melaka.
Ibu Zin merupakan wanita pertama yang menamatkan persekolahan Inggeris pada zaman tersebut dan beliau menggunakan pengetahuan yang ada untuk mendidik anak-anak bangsa.
Diceritakan juga dalam lembaran sejarah, di mana kaum Hawa sanggup menyerahkan barangan kemas semata-mata untuk membantu perjuangan para pemimpin negara mencapai kemerdekaan.
Bahkan, ada juga antara golongan ibu ini yang sanggup mengangkat senjata ketika negara dibelenggu ancaman penjajah dan pengganas komunis.
Sambil mengenang kembali jasa mereka yang pernah berbudi dalam mengangkat martabat kaum Hawa, marilah kita teruskan langkah dengan memperkasakan kedudukan sedia ada.
Generasi muda wanita hari ini perlu diasak untuk bangkit mewarisi kepimpinan wanita yang telah berakar umbi agar segala yang telah diperjuangkan tidak luntur atau hilang begitu saja.
Kita sandarkan harapan pada pemimpin-pemimpin sekarang seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Azalina Osman Said dan ramai lagi. Pada masa yang sama, kita juga kagum dengan nama-nama seperti S. Vanajah yang menjadi salah seorang calon akhir angkasawan negara, Nicol David di gelangang skuasy, Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Zeti Akhtar sebagai Gabenor Bank Negara dan ramai lagi.
Realitinya, kegemilangan wanita Malaysia setelah 50 tahun perlu diperkasakan terus.
2 comments:
Sprt kta sdia mklum KHADIJAH SIDEK adlh slh sorg yg nmany d atas dlm prtbuhan kaum ibu umno.apkah bliau juga mndpat pnghormatn sprt pmimpin2 kaum ibu umno yg lain,trutama wanita umno skrg?
klo ada,apkah bentuk pnghargaan negara trutamany parti UMNO?Adkah gelaran TUN,TAN SRI,DATO SERI atopun cuma panggil ibu tua sja?
Post a Comment