Followers

Tuesday, May 13, 2008

Pemimpin Kita 6: Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi



Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

DDilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.

Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.

Setelah hampir 2 tahun menduda, beliau telah terbuka hatinya untuk menerima Jeanne Abdullah sebagai isteri beliau apabila melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007

Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parliamen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.

Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.

Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam.

Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

No comments: