Followers

Wednesday, May 14, 2008

Bab 1:Tingkatan 4:Definisi Tamadun;Mohenjo-Daro (Indus)

CIRI-CIRI TAMADUN MOHENJO-DARO DAN HARAPPA



Latar Belakang

Tamadun Mohenjo-Daro dan Harappa juga dikenali sebagai Tamadun Indus. Tamadun ini wujud kira-kira dari tahun 2500-500 SM di sekitar Sungai Indus. Tamadun ini terdiri daripada 70 buah bandar di dataran-dataran yang direntasi oleh Sungai Indus dan Sungai Ganges di Barat Laut India. Walau bagaimanapun, hanya dua tempat sahaja mempunyai kebudayaan rumit dan jelas iaitu Mohenjo-Daro dan Harappa. Kedua-dua bandar ini juga merupakan bandar terancang yang terawal dalam sejarah manusia.



Ciri-ciri

Pembentukan Bandar (klik sini untuk keterangan selanjutnya)

Seperti dengan tamadun yang lain, bandar negara kota ini terbentuk apabila satu perkampungan ini mengalami urbanisasi. Pembentukan ini menunjukkan corak kehidupan manusia yang semakin berorganisasi dan berkebijaksanaan. Antara negara kota ini, Harappa dan Mohenjo-Daro mempunyai struktur yang teratur.Kedua-dua bandaraya terbahagi kepada petak-petak perumahan berdasarkan corak checker-board. Jalan raya utama amat luas dan terbentang dari Utara ke Selatan dan dari Barat ke Timur. Rumah-rumah dibina dengan batu-bata dan terletak di kedua-dua belah jalan raya. Setiap rumah ini mempunyai bilik mandi, tandas, dapur dan telaga. Selain itu, bandaraya ini mempunyai jelapang-jelapang, dewan orang ramai, kedai-kedai, sistem saluran najis di bawah tanah dan citadel yang dibina untuk didiami oleh golongan pemerintah. Seterusnya, kubu-kubu telah dibina untuk melindungi bandar-bandar ini daripada serangan musuh.



Pembentukan Kerajaan

Secara amnya, setiap negara kota ini merupakan satu kerajaan. Ia diperintah oleh pendeta atau paderi dengan kuasa mutlak. sistem pemerintahannya adalah teratur dan bersistematik. Tamadun ini telah mengalami kemerosotan dan terus lenyap kira-kira 1500 SM.



Organisasi Sosial

Organisasi sosial bagi tamadun ini tidak berapa jelas. Tapi, apa yang dapat dilihat ialah para pendeta menjadi ketua kerajaan dan selepasnya terdapat satu golongan petani yang bilangannya agak ramai. Selain itu, terdapat juga golongan peniaga yang dipercayai menjalankan kegiatan perdagangan dengan bandar Ur di Mesopotamia.



Perkembangan Teknologi

Perkembangan teknologi tamadun ini tidak berapa jelas juga. Tetapi apa yang diketahui ialah roda telah dicipta dan digunakan sebagai alat pengangkutan.



Pengkhususan Kerja

Para pendeta bertanggungjawab mengawal pembinaan bangunan baru, menetapkan piawai timbangan dan ukuran dan mengawal ketat sistem tulisan, bentuk bangunan, pelan jalan dan saiz batu-bata yang digunakan dalam pembinaan. Golongan petani pula bertanggungjawab menanam tanaman seperti gandum, barli, padi dan kapas dan menternak binatang seperti lembu, biri-biri, kambing, babi dan ayam. Selain itu, terdapat orang yang mengamalkan pekerjaan berniaga, pengukir batu, pembuat barang kemas, tukang besi dan pembuat tembikar.



Wujudnya Kepercayaan

Menurut sumber arkeologi, masyarakat Indus mengamalkan kepercayaan animisme. Oleh itu, penduduknya menyembah binatang, pokok dan batu. Berdasarkan kepercayaan ini juga, lembu jantan dianggap sebagai binatang suci. Masyarakat Indus juga menyembah Dewa Siva dan Dewi Shakti yang bermuka tiga. Namun demikian, kuil-kuil tidak dibina untuk tuhan-tuhan ini. Masyarakat rakyat Indus mengamalkan upacara pengebumian dan pembakaran mayat. Habuk mayat biasanya dibuang ke dalam sungai. Kira-kira pada tahun 1500 SM, orang Aryan menyebarkan agama polytheistic, hasilnya mereka mula menyembah tuhan matahari, langit, petir dan api. Walaupun begitu, orang Aryan ini sebenarnya menyembah kepada satu tuhan sahaja (monotheistic) dan percaya kepada konsep hidup semula dalam jasad lain.



Wujudnya Bahasa dan Tulisan

Sistem tulisan yang wujud di Tamadun Indus adalah berbentuk gambar. Terdapat hampir 400 simbol keseluruhannya. Arah tulisannya bermula dari kiri dan menuju ke arah kanan.

No comments: