Tugas merdekakan fikiran
Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)
Tahun ini pada 31.8.08 , genap 5i tahun kita merdeka. Kita meraikan sambutan jubli emas kemerdekaan ini selepas tanah air dibelenggu oleh penjajah selama 446 tahun.
Mengimbas sejarah perjuangan kemerdekaan, penubuhan UMNO pada 1946, gerakan menentang Malayan Union dan disusuli kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kemudian melalui detik awal mengisi hari-hari awal sebagai negara bebas, ancaman komunis dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 – semuanya perlu dijadikan iktibar segenap peringkat rakyat.
Jika ditanya pada anak-anak muda yang lahir era Proton Saga dan Perodua diperkenalkan, mereka tidak dapat gambarkan kepayahan keturunan datuk dan neneknya makan ubi kayu rebus di zaman pemerintahan tentera Jepun dan keganasan komunis sebelum merdeka.
Sekarang zaman pascamerdeka, mungkin generasi muda berkata tidak perlu diungkit kenangan lalu yang mengusik jiwa itu. Mereka mahu bercakap tentang hakikat masa kini. Malaysia sudah merdeka lima dekad lamanya. Kini masa membincangkan tentang arah tuju ke hadapan.
Walaupun pandangan itu ada benarnya tetapi kita perlu fahami bahawa kemerdekaan yang kita ingin bawa bersama ke hadapan itu bukan bermaksud bebas daripada kongkongan negara penjajah.
Sebab itu banyak golongan intelektual negara berpendapat kemerdekaan yang sebenarnya masih jauh. Kita cuma merdeka dalam erti kata politik, tetapi kedaulatan kita sentiasa dicabar dan dicabuli.
“Penjajahan dalam erti kata penaklukan dan penindasan secara fizikal sudah berakhir, tetapi penjajahan fikiran, budaya dan ekonomi masih terus bermaharajalela,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Abdul Razak Omar.
Menurut beliau, golongan yang ‘miskin’ dengan patriotisme mudah dipengaruhi untuk menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. “Ramai daripada kita yang tidak sedar bahawa kita masih dijajah oleh nafsu sendiri sehingga kita terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.
“Ramai daripada kita sebenarnya belum merdeka dari segi psikologi, lemah semangat dan cepat mengaku kalah. Golongan seperti ini tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang,” hujah Dr. Abdul Razak yang berlatar belakang pengurusan ekonomi.
Memang wujud sesetengah rakyat negara ini setelah negara merdeka, kita seringkali mencari jalan cepat dan sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat.
Ramai daripada kita sebenarnya belum merdeka dari segi psikologi, lemah semangat dan cepat mengaku kalah. Golongan seperti ini tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang.
Dr. Abdul Razak berpendapat selepas lebih 50 tahun merdeka, rakyat perlu mengekalkan kemerdekaan dengan konsep moden.
“Rakyat negara ini sebenarnya sudah bebas melakukan banyak perkara. Kita bebas mencari rezeki dan boleh berjalan lewat malam. Pada pukul 3 pagi pun kita masih boleh mencari tempat makan,” kata beliau.
Dari sudut ekonomi, hakikatnya semua rakyat bebas mencari sumber rezeki. Malah rakyat negara ini tidak dikongkong atau disekat memilih mana-mana parti politik yang ingin disertai atau disokong.
“Bagaimanapun adalah menjadi tugas generasi sekarang dan seterusnya untuk mengekalkan kemerdekaan dan kebebasan fikiran dalam pelbagai bidang,” kata beliau.
Dengan kestabilan parti negara yang dipimpin kerajaan komponen Barisan Nasional (BN) terutama tunjangi UMNO, ia menyumbang kesan yang ketara kepada keyakinan pelabur untuk terus menanam modal di negara ini.
Hakikatnya, tonggak pertumbuhan negara dalam tempoh 50 tahun merdeka ialah kestabilan politik. Kestabilan itu membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan program pembangunan.
Melalui program yang kemas dan berhemah maka pertumbuhan ekonomi dapat dijana dengan mapan manakala rakyat menikmati kemakmurannya. Hasil daripada kegiatan ekonomi ini juga, maka kerajaan memperoleh hasil untuk memakmurkan hidup rakyat.
Renunglah nasib penduduk di Iraq, Palestin dan beberapa negara Afrika yang kekurangan makanan dan perang saudara di sana sini.
Lihatlah bagaimana begitu ramai pendatang asing mencari nafkah di negara kita. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dan mengirim pulang ratusan juta duit kita untuk menghidupkan keluarga dan kampung mereka.
Generasi sekarang tidak harus leka dan duduk goyang kaki. Ingat, tiada rezeki yang datang mencurah dari langit. Kita masih ada agenda yang belum selesai.
Jika sebelum merdeka semua kaum bermuafakat untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan semua kaum, bagaimana kedudukannya selepas 50 tahun?
Menurut ahli sejarah, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, Kongres Pelajaran Melayu Merdeka yang diketuai Allahyarham Aminuddin Baki dan rakan-rakannya pada tahun 1956 menuntut bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara.
“Kongres itu ingin melihat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Adakah apa yang dituntut sebelum merdeka itu telah dilaksanakan sepenuhnya?”
Pada pandangan Prof. Nik Anuar, apa yang beliau nampak ialah usaha mendaulatkan bahasa Melayu kurang diberi penekanan oleh pihak swasta. Ini bertentangan dengan perjuangan Aminuddin Baki dan rakannya 50 tahun dahulu.
Tetapi jika dikaji sejarah, badan bukan kerajaan Cina pada 1956 juga menuntut bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasmi bersama-sama bahasa Melayu.
Selepas 50 tahun, perjuangan tuntutan bahasa Mandarin, kata Prof. Nik Anuar nampaknya konsisten berbanding perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu.
Jelas apa yang diperjuangkan oleh Aminuddin Baki belum dicapai sepenuhnya. Inilah tanggungjawab generasi sekarang untuk memastikan ia tercapai sebelum usia kemerdekaan mencecah 100 tahun.
Dari segi memenuhi tuntutan kontrak sosial, kata Prof. Nik Anuar, sejak dahulu orang Melayu banyak berkorban dengan memberi hak kerakyatan kepada orang mendatang. Pemberian keistimewaan itu dengan tujuan agar orang mendatang membantu memajukan orang Melayu dalam semua bidang ekonomi.
“Tetapi komitmen itu belum dilaksanakan sepenuhnya selepas 50 tahun,” kata Prof. Nik Anuar yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Selepas 50 tahun, dapat dilihat mentaliti masyarakat berbilang kaum negara ini belum banyak berubah. Kata Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed, masalah mentaliti rakyat ialah tidak dapat menerima kaum orang lain sebagai orang lain dan menghargainya. Maknanya mereka tidak dapat menerima perbezaan kaum.
“Sedangkan perkara persefahaman antara kaum ini menjadi inti sari atau syarat untuk mendapat kemerdekaan dari British 50 tahun lalu.
Kerajaan juga mengharapkan perpaduan dapat dibentuk melalui pendidikan tetapi jika kaum bukan Melayu terus mempertahankan imej kaum masing-masing dalam pendidikan termasuk dalam soal bahasa dan sekolah, maka untuk melihat perpaduan kaum berjaya sepenuhnya perlu mengambil masa lagi,” jelas beliau.
Ingatlah pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira 10 tahun lalu; “Janganlah kita fikir sekali merdeka, maka selama-lamanya kita akan merdeka. Jika kita tidak berusaha memelihara kemerdekaan kita, penjajah secara langsung atau tidak langsung akan kembali menjajah kita.”
Semua rakyat berbilang kaum hendaklah berwaspada terhadap unsur-unsur dalam negara yang boleh menghancurkan semua kejayaan yang dicapai dan nikmati sekarang.
Adalah amat penting rakyat negara ini tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas demi kesinambungan warisan bangsa yang merdeka.
No comments:
Post a Comment