Followers

Sunday, May 11, 2008

Contoh esei Tingkatan 4(1) Bm.sejarah pendidikan Islam

untuk murid tingkatan 4, jangan lupa esei anda.. di bawah contoh esei.esei ini berkaitan dengan tajuk penyebaran Islam di Mekah dan Madinah (Bab 4 + 5) Esei bukan ditulis oleh cikgu, tapi cikgu petik daripada satu laman blog...



SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM

PENGERTIAN PENDIDIKAN

Pendidikan adalah berasal dari perkataan Latin iaitu e, ex, yang bermaksud keluar dan perkataan “ ducare due “ yang bermaksud memimpin. Secara keseluruhan ia beerti mengumpul matlumat ke dalam dan mengeluarkan bakat. Pendidikan merupakan satu latihan mental, fizikal, dan moral. Objektifnya ialah untuk melahirkan menusia yang mampu berfikir dan mampu memikul tanggungjawab. Selain dari itu, pendidkan bolehlah dianggap atau diertikan sebagai pertumbuhan-pertumbuhan pemeliharaan, pengasuhan dan penyuburan.

Sejarah pendidikan bermula sejak kewujudan manusia, namun begitu bentuk dan corak sistem pendidikan berbeza mengikut masa, tempat dan adat resam sesuatu masyarakat. Proses pendidikan bermula serentak sejak kelahiran manusia dan berterusan hingga ke akhir hayat. Pendidikan merupakan satu seni yang membolehkan manusia mengumpul segala pengalaman yang dipelajari dan diperolehi di dalam kehidupan mereka dan selanjutnya menyampaikan pengalaman itu kepada generasi baru.
Dalam Islam pendidikan yang sebenar yang dikehendaki ialah apa yang terkandung dalam Al-Quran dan Al-Hadith, kerana ia adalah pendorong yang menggalakkan umat muslim supaya mengambil berat dengan kemajuan dan ilmu pengetahuan adalah lahir dari Al-Quran dan Hadith. Pendidikan Islam ialah bimbingan jasmani dan rohani berdasarkan hukum agama islam yang menuju kearah pembentukan keperibadian muslim iaitu keperibadian yang mempunyai nilai-nilai agama yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith.

Tujuan pendidikan dalam Islam ialah untuk penghidupan yang sepenuhnya meliputi kehidupan di dunia dan di akhirat. Pendidikan Islam menitikberatkan hubungan manusia dengan manusia, dengan alam sekeliling dan hubungan manusia dengan pencipta. Oleh itu segala amal ibadat hendaklah dilakukan dengan sempurna dan penuh ikhlas. Dengan itu dapatlah di simpulkan bahawa tujuan pendidikan dalam Islam adalah amat luas yang meliputi penghidupan di dunia dan di akhirat.

SEJARAH PENDIDIKAN PADA ZAMAN AWAL ISLAM

Sistem pendidikan pada awal islam adalah bertunjangkan pendidikan Islam. Agama Islam memberikan penekanan kepada penganutnya tentang kepentingan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan keduniaan dan akhirat. Islam juga menyarankan dan mewajibkan setiap umatnya mencari ilmu dalam semua bidang. Berhubung dengan ini, Nabi Muhammad saw bersabda “Tuntutlah ilmu pengetahuan itu semenjak dari ayunan sampai ke liang lahad” dan Nabi bersabda dalam hadis yang lain “Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan keatas setiap muslim”. Malah orang yang berilmu akan mendapat kedudukan ang tinggi di sisi Allah. Nabi Muhammad saw menyanjung tinggi golongan yang berilmu. Ini jelas ternyata daripada sabda baginda bahawa seorang ahli ilmu lebih di sisi Allah daripada seribu ahli ibadat dan manusia yang mulia adalah seorang mukmin yang berilmu.

Pada peringkat awal, pendidikan diajar di rumah-rumah. Nabi Muhammad s.a.w manjadikan rumah baginda dan rumah Al-Arqam sebagai tempat memperoleh ilmu pengetahuan. Mulai tahun 622 masihi, masjid digunakan sebagai institusi pendidikan untuk menyampaikan ilmu secara formal. Matlamat akhir pendidikan Islam ialah pewujudan diri yang bertujuan untuk melahirkan insan yang sempurna dari segi rohaniah, psikologikal, intelektual,dan jasmaniah. Selain itu menerusi pendidikan juga manusia dapat membuat persiapan bagi kehidupan di dunia dan di akhirat. Sementara itu Al-Abrasyi telah menyenaraikan lima tujuan pendidikan menerusi kajiannya.

Tujuan tersebut adalah:
1. Pembentukan akidah yang mulia.
2. Persiapan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.
3. Persiapan untuk mencari sumber pendapatan.
4. Melahirkan semangat ingin tahu dan berbentuk ilmiah di kalangan pelajar.
5. Memperlengkapkan pengetahuan pelajar dalam bidang-bidang profesional, teknikal dan pertukangan .
Dengan demikian mereka juga dapat menguasai kemahiran dalam pekerjaan di samping memelihara aspek kerohanian dan keagamaan.

Pada peringkat awal Islam, semua pendidikan Islam adalah tanggungjawab orang perseorangan dan guru yang mengajar murid tanpa campurtangan negara. Nabi Muhammad saw sendiri menjadi guru dalam menyebarkan Islam kepada umatnya. Sistem pendidikn yang dilaksanakan oleh baginda adalah bersumberkan wahyu. Corak pendidikan baginda semasa di Mekah adalah berbeza dengan pendidikan yang dilaksanakan di Madinah. Ini kerana keadaan dan suasana masyarakat Madinah berbeza dengan masyarakat Mekah. Justeru itu corak dan pendekatan pendidikannya juga turut berbeza. Walaupun begitu, secara keseluruhannya sistem pendidkan pada zaman baginda berfokuskan kepada tiga perkara iaitu pendidikan akidah, pendidikan akhlak, dan pendidikan syariah.
Semasa di Mekah, bentuk pendidikan lebih tertumpu kepada soal-soal akidah dan akhlak. Pada peringkat awal Nabi Muhammad saw menyampaikan ilmu secara sulit dan tertumpu kepada ahli keluarga terdekat. Orang yang mula-mula menerima pendidikan Islam daripada baginda ialah isteri baginda Khadijah, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abu Bakar. Pendidikan Islam yang dijalankan oleh baginda di Mekah adalah secara lemah lembut dan penuh hikmat. Hari demi hari semakin ramai orang dan para sahabatnya yang memeluk Islam. Pusat kegiatan dakwah ialah dirumah baginda sendiri.

Selepas hampir tiga tahun berdakwah secara tersembunyi, melalui pendidikan Islam yang yang di terapkan oleh baginda Nabi Muhammad saw, maka terbinalah satu kaum muslimin yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Akhirnya turun wahyu daripada Allah yang meminta Nabi Muhammad saw menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Baginda menyampaikan pendidikan secara berpidato, berceramah serta bertabligh di tempat orang ramai berkunjung seperti di pekan Ukaz dan berhampiran Kaabah pada musim haji. Ayat-ayat Al-Quran dibaca kepada orang ramai untuk memberi pengajaran dan petunjuk kepada umum. Oleh kerana isi Al-Quran terang dan hebat susunannya, maka ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Ini telah menimbulkan tekanan dan ancaman daripada kaum Quraisy yang seterusnya membawa kepada penghijrahan orang Islam ke Habsyah dan kemudiannya ke Madinah pada tahun 622 masihi.

Pendidikan di Mekah berkisar kepada soal pokok agama Islam. Pengajarannya berteraskan kepada akidah, akhlak,dan syariah. Agama ini mengajar manusia supaya menggunakan akal fikiran dengan memerhatikan kejadian alam sebagai anjuran kepada pendidikan akliyyah dan ilmiah. Akidah ialah kepercayaan yang menghubungkan seseorang dengan tuhan atau dikenali sebagai rukun iman. Akidah juga merupakan dasar dalam pembinaan pendidikan. Sesuatu proses pembinaan pendidikan tidak akan sempurna tanpa dasar-dasar yang sempurna.

Nabi Muhammad saw juga menganjurkan kaum muslimin supaya berakhlak mulia. Untuk mendampingi diri dengan Allah memerlukan akhlak yang terpuji. Dalam kehidupan seharian Nabi Muhammad saw telah mengajar kaum muslimin supaya mengamalkan sikap kesederhanaan, tolong-menolong dan sentiasa bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah. Akhlak yang terpuji membolehkan seseorang individu dan masyarakat bertakwa. Manakala sikap yang buruk seperti menyekutukan Allah dan segala perbuatan sumbang adalah dilarang keras oleh Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya akhlak yang buruk boleh memberikan kesan negatif kepada individu dan masyarakat.

Apabila Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah pada tahun 622 masihi, perubahan telah berlaku dalam sistem pendidikan Islam dengan terbinanya Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi. Struktur pengajian di masjid lebih berbentuk kepada sistem pendidikan tidak formal dan menjadi sekolah pertama dalam sejarah pendidikan Islam pada zaman awal Islam. Setelah itu struktur pengajian yang lebih sistematik dan formal dapat dibentuk apabila sebuah serambi didirikan bersambung dengan masjid yang disebut al-suffah. Al-Quran menjadi kitab yang pertama dalam sejarah pendidikan Islam. Mata pelajaran lain termasuklah dasar-dasar Islam, seni khat, sejarah, menunggang kuda, memanah dan belajar bahasa asing.

Suatu amalan baginda yang memberi kesan terhadap perkembangan pendidikan ialah baginda memerintahkan kepada setiap mukmin yang pandai membaca dan menulis supaya mengajar kepada mereka yang tidak mengetahuinya. Baginda juga menghantar pendakwah yang pandai membaca dan menulis untuk mengajar dan berdakwah ke kawasan-kawasan yang baru memeluk Islam. Amalan baginda ini kemudiannya diikuti oleh para sahabat dan kaum muslimn kemudiannya.

Pendidikan yang pertama dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad saw di Madinah ialah memperkuatkan penyatuan ummah dan mengikis sisa-sisa permusuhan. Konsep pendidikan di Madinah lebih tertumpu kepada ibadat dan syariah tanpa mengenepikan soal-soal lain. Semasa di Madinah, hal-hal yang berkaitan dengan ibadah ditingkatkan dan di beri penekanan utama oleh Nabi Muhammad saw dalam usaha menyampaikan pendidikan Islam kepada seluruh umatnya. Pada zaman ini, umat Islam mula di wajibkan mendirikan solat Jumaat. Umat Islam juga di beri peringatan agar menjaga waktu solat yang sebelum ini tidak di utamakan. Pendidikan berpuasa pula di mulai di Madinah pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah. Demikin juga ibadat haji, zakat, hukum hakam perkahwinan, kegiatan ekonomi dan pemerintah yang mula di sampaikan kepada umat Islam pada tahun 6 hijrah.

Di Madinah, orang yang pandai membaca dan menulis disuruh oleh Nabi Muhammad saw supaya menulis wahyu yang diturunkan oleh Allah, di samping mengajar umat Islam yang tidak tahu mambaca dan menulis. Sesudah baginda menerima wahyu dari Allah, baginda akan mengajarnya kepada para sahabat. Sahabat baginda yang pandai membaca dan menulis, di perintahkan oleh baginda untuk menulis wahyu tersebut. Kepandaian menulis dan membaca amat ditekankan oleh baginda, misalnya musuh yang ditawan dalam peperangan Badar diminta menebus dirinya dengan mengajar menulis dan membaca kepada 10 orang kanak-kanak yang tinggal di Madinah. Pendidikan kepada wanita tidak diabaikan. Nabi Muhammad saw telah mengambil satu hari untuk menyampaikan ilmu khusus untuk kaum wanita. Pendidikan yang diberikan kepada kaum wanita bukan sahaja aspek agama tetapi juga hal-hal yang berkaitan dengan keduniaan.

Kesimpulannya, sistem pendidikan pada awal Islam adalah suatu pendiikan yang paling sempurna. Ini kerana ianya telah di terajui oleh baginda Rasulullah saw sendiri. Ia menjadi model dan ikutan hingga ke akhir zaman. Pendidikan yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith dapat melahirkan insan yang mampu mengimbangi kehidupan di dunia dan di akhirat. Baginda Rasulullah saw adalah pendidik yang ulung di sepanjang zaman. Baginda mendidik manusia melalui perbuatan dan pertuturan baginda sendiri. Umat Islam pada zaman baginda sudah terbukti kehebatan mereka dalam semua aspek.

1 comment:

SheqienRoslan said...

salam..

boleh x emailkan sy tentang sejarah pendidikan islam di malaysia sebelum, pra merdeka dan selepas merdeka??

sheqien_2020@yahoo.com.my